Saran tindakan tegas kepada pusat tahfiz tidak berdaftar

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan mengenakan tindakan undang-undang kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat tahfiz sebagai tempat 'pembuangan anak-anak bermasalah' disifatkan tidak wajar.

Ramai yang menyarankan supaya syarat kemasukan ke tahfiz diperketatkan bagi mengelakkan masalah berbangkit selain menghapuskan segera pusat tahfiz tidak berdaftar.

Bagi Kamal Ahmad Abdullah, 55, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kepada pengurusan pusat tahfiz yang tidak berdaftar.

Kamal juga percaya ibu bapa tidak mengusulkan sama ada pusat pendidikan agama berkenaan berdaftar atau sebaliknya.

"Tujuan mereka hanya mahu anak-anak mendapat ilmu. Mereka juga bukan lepas tangan sebaliknya mewakilkan kepada ustaz yang lebih berpengalaman," katanya.

Mohd Ikhsnan Mohd Din (kiri), Kamal Ahmad Abdullah
Mohd Ikhsnan Mohd Din (kiri), Kamal Ahmad Abdullah

Mohd Ikhsnan Mohd Din, 50, pula berpendapat kes jenayah membabitkan pusat tahfiz menggugat institusi itu secara keseluruhannya.

"Pihak berkuasa perlu bertegas menangani isu ini. Ibu bapa juga perlu peka dan tahu di mana anak-anak mereka ditempatkan. Mereka perlu sentiasa berhubung dengan pihak institusi yang didaftarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengasas pusat tahfiz di Terengganu, Wan Muhammad Mizan Wan Abdul Latif, 36, berkata, ibu bapa perlu jujur jika anak mereka bermasalah dan memaklumkan kepada pentadbiran tahfiz ketika proses pendaftaran.

"Kita memerlukan ketelusan ibu bapa semasa proses temuduga. Beritahu dengan jujur jika anak-anak mereka ada masalah supaya pihak pengurusan boleh memberi perhatian. Jika pihak tahfiz itu tidak boleh menerima pelajar berkenaan, mereka boleh mencadangkan pusat tahfiz yang sesuai. Itu lebih harmoni.

"Sebab peranan institut pendidikan Islam itu bukan sahaja mengajar tetapi Quran itu bersifat ubat menyembuh bukan sahaja penyakit yang zahir tetapi juga batin," katanya.

Wan Muhammad Mizan Wan Abdul Latif (kiri), Abdul Manan Mohd Derus
Wan Muhammad Mizan Wan Abdul Latif (kiri), Abdul Manan Mohd Derus

Seorang lagi pengasas pusat tahfiz, Abdul Manan Mohd Derus, 35, berkata, ada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tahfiz pada usia muda kerana ingin melihat anak-anak menjadi tahfiz lebih awal.

Bagaimanapun beliau mengakui ada anak-anak yang dihantar itu tidak mendalami akademik dan pusat tahfiz menjadi pilihan sebagai alternatif melihat anak-anak mereka menjadi insan berguna," katanya.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan ada ibu bapa salah faham dengan konsep pusat tahfiz seolah-olah menjadikannya sebagai pusat pembuangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cadang kenakan tindakan ibu bapa 'buang anak' di pusat tahfiz

Katanya, beliau mahu ‘mencari’ satu undang-undang yang boleh mengenakan tindakan kepada ibu bapa yang mengamalkan konsep sedemikian kerana mereka tidak pernah serik.