Penyakit anjing gila mampu undang maut

No Image Caption
A
A
A
TERBAHARU, dalam kenyataan medianya kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu kematian akibat rabies encephalitis melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 5 tahun dari Kampung Mambong, Jalan Penrissen, Kuching, Sarawak.

Kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada 2 November 2019 semasa dalam rawatan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sampel untuk ujian rabies yang telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah disahkan positif rabies pada 6 November 2019.

Bahayanya penyakit itu. Penyakit anjing gila atau rabies adalah sejenis penyakit sistem saraf oleh jangkitan virus. Ia merebak melalui gigitan haiwan berkenaan.

Pesakit hanya menunjukkan tanda-tanda selepas 20 hingga 60 hari selepas gigitan haiwan.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit rabies?

Is adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies.

Rabies berjangkit melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan tersebut kepada manusia.

Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma.

Artikel Berkaitan:

Rabies adalah satu penyakit yang menyebabkan kematian 100 peratus jika tanda-tanda penyakit telah timbul.

KKM menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan dijangkiti penyakit rabies:

1) Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir bagi menghilang kesan air liur;

2) Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar;

3) Pastikan anjing atau kucing peliharaan telah mendapatkan suntikan antirabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama haiwan atau anjing liar;

4) Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat;

5) Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal;

6) Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.

Sumber: myhealth.gov.my