Sungai Toh Pawang perintis sistem pengurusan sisa pepejal sistematik

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun melancarkan projek Pengurusan Lestari Sisa Pepejal Luar Bandar dan merasmikan TSR Sungai Toh Pawang Fasa Dua hari ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun melancarkan projek Pengurusan Lestari Sisa Pepejal Luar Bandar dan merasmikan TSR Sungai Toh Pawang Fasa Dua hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Taman Sejahtera Rakyat (TSR) Sungai Toh Pawang di Bedong di sini menjadi kampung luar bandar pertama di negara ini yang mempunyai sistem pengurusan sisa pepejal bersistematik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pelaksanaan sistem berkenaan selari dengan visi Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 iaitu Luar Bandar Sejahtera.

“Penduduk di kampung itu berani menyahut cabaran daripada kementerian untuk melaksanakan pengurusan lestari sisa pepejal. Kerjasama diberikan penduduk di sini sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek Pengurusan Lestari Sisa Pepejal Luar Bandar dan merasmikan TSR Sungai Toh Pawang Fasa Dua hari ini.

Rina berkata, selepas ini kementeriannya akan memperluaskan inisiatif berkenaan ke kampung luar bandar di Johor, Terengganu dan Kelantan dengan memberikan kesedaran terlebih dahulu tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal yang baik.

Beliau berkata, kursus serta aktiviti ceramah dan khidmat nasihat berkaitan pengurusan sampah yang sistematik akan diberikan kepada penduduk kampung bagi merealisasikan projek berkenaan.

Katanya, pengurusan sampah yang baik juga boleh mendatangkan pendapatan kepada penduduk apabila bahan buangan bertukar menjadi baja yang boleh digunakan untuk tanaman atau dijadikan kraftangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: