50,000 anggota APM siap sedia hadapi banjir

Nor Hafifi Ismail
Nor Hafifi Ismail
A
A
A

BANGI - Kira-kira 50,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini bersedia bagi menghadapi banjir ekoran peralihan monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan bulan ini sehingga Mac tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APM, Nor Hafifi Ismail berkata, jumlah itu meliputi anggota di seluruh negara.

"Anggota dan aset jabatan juga diletakkan dalam keadaan siap sedia untuk digerakkan seawal bulan Oktober bagi memastikan operasi menyelamat dan membantu mangsa berjalan lancar.

"Tumpuan pastinya di kawasan yang berisiko tinggi banjir termasuk di negeri Pantai Timur," katanya selepas Majlis penutupan Kursus Pegawai-pegawai Baru Briged Kesenian APM di Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) di sini semalam.

Hadir sama, Penaung Briged Kesenian dan Pasukan Khas APM, Tengku Kamarulzaman Sultan Abu Bakar.

Dalam pada itu, Nor Hafifi turut memuji penduduk terutama yang tinggal di kawasan berisiko banjir kerana menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi.

Menurutnya, keadaan itu berbeza jika dibandingkan tiga hingga lima tahun sebelum ini kerana ada penduduk yang enggan berpindah walaupun kediaman sudah dinaiki air.

"Kini mereka yang lebih awal bertindak untuk berpindah dan ini satu tindakan yang sangat positif bagi memastikan kelancaran proses membantu dan menyelamat mangsa banjir," katanya.

Artikel Berkaitan: