Sakit mata pun jadi perbalahan

A
A
A

DI negara ini rakyat suka berbalah kerana terlalu ramai yang mahu bercakap soal politik dan melihat semua hal dari segi politik.

Terbaru yang sangat menarik dilihat ialah bagaimana cuti sakit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menghadiri perbicaraan selama sehari, pada Khamis dua minggu lalu mendapat kritikan pemimpin parti pemerintah.

Mereka mendakwa Najib menipu mahkamah untuk turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Satu laporan Polis dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) supaya disiasat penipuan sijil cuti sakit Najib daripada sebuah klinik perubatan yang ternama.

Segala kekecohan dan riuh rendah ini dibuat seolah-olah Najib telah lari daripada perbicaraan.

Kita boleh faham sebahagian NGO di negara ini mempunyai kesukaan dan kebolehan membuat pelbagai laporan polis dan kenyataan hanya untuk kepentingan agenda tertentu atau mendapat publisiti murahan.

Namun untuk Peguam Negara (AG), Tommy Thomas, mengarahkan pendakwa meminta mahkamah mengenakan sekatan terhadap Najib hanya boleh berada dalam kawasan Wilayah Persekutuan dan melaporkan diri kepada balai polis yang paling dekat dengan rumahnya setiap hari Sabtu bermula 9 pagi adalah sesuatu yang sangat memalukan.

Menurut pendakwa raya sementara Gopal Sri Ram, pihaknya memohon perkara itu kerana adalah satu keajaiban masalah mata boleh sembuh dengan pantas selepas Khamis dan Najib kemudian boleh berada di Johor.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu adalah sangat tidak rasional dan boleh menimbulkan prasangka dalam kalangan rakyat bahawa AG tidak mampu bersikap profesional dan menjalankan tanggungjawab mengikut lunas undang-undang.

Jika AG melakukan siasatan sebelum membuat sebarang permohonan tentu beliau tahu sakit mata Najib adalah akibat alahan (allergic), bukan kerana conjunctivitis (sejenis sakit mata berjangkit akibat jangkitan kuman).

Apabila seseorang mengalami alahan terhadap habuk, bahan kimia atau makanan ia boleh menyebabkan mata bengkak dan berair. Dengan pengambilan ubat yang betul dan berkualiti ia boleh berkurangan dan sembuh dalam masa beberapa jam sahaja.

Lebih menghairankan Najib mendapat cuti sakit pada hari Khamis, mengapa AG ingin mempersoalkan di mana beliau pada hari Jumaat dan Sabtu sehingga memohon perintah kawasan terhad?

Jika pun Najib keluar berjalan pada hari Khamis ia bukanlah satu kesalahan kerana cuti sakit hanya surat kebenaran tidak menghadiri kerja atau dalam kes ini perbicaraan mahkamah, atas sebab perubatan.

Tidak ada dalam undang-undang menyatakan mereka yang mendapat sijil cuti sakit harus tinggal di rumah atau di hospital.

Jika AG meneliti fakta tentu tidak timbul soal Najib mahu menangguhkan perbicaraan atau melewat-lewatkannya sehingga memerlukan pendakwa raya mengemukakan permohonan yang melucukan dan bersifat draconian.

Ini kerana sepanjang perbicaraan beratus hari membabitkan kes SRC dan 1MDB, hanya beberapa kali sahaja Najib yang sudah berusia 66 tahun memohon penangguhan kerana cuti sakit.

Mujurlah Hakim Collin Lawrence Sequerah mempunyai pertimbangan yang rasional dan menyatakan “mahkamah tidak melihat sebarang keadaan untuk mengenakan sekatan” seperti yang diminta pihak pendakwa raya.

Jika tidak kita mungkin menyaksikan satu lagi sisi gelap sistem kehakiman negara kerana sikap seorang AG yang bertindak secara tidak munasabah dan bertimbang rasa.

Kita faham AG mungkin sedang ditekan oleh ahli politik kerajaan yang mahu kes ini diselesaikan secepat mungkin.

Namun Najib juga berhak mendapat keadilan dan mempunyai tempoh masa yang sewajarnya bagi mengharungi perbicaraan yang panjang dan memenatkan ini.

Walaupun Thommy Thomas dilantik melalui saluran politik atas kepentingan politik parti pemerintah, namun adalah tanggungjawab beliau memastikan setiap orang mendapat layanan dan budi bicara perundangan yang wajar dari pejabat beliau.

Memohon perintah sekatan keluar dari Wilayah Persekutuan dan melapor diri di Balai Polis berdekatan setiap Sabtu adalah satu lakonan ‘black comedy’ yang tragik oleh AG.

Apakah AG kini mahu mengklasifikasikan Mohd Najib sebagai penjenayah ganas seperti kumpulan kongsi gelap dan LTTE?

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)