Jangan salah lapor saya: Maszlee

Dr Maszlee Malik (tengah) menunjukkan sijil perasmian Program 'Life Saving Skills' dan Modul Kesedaran Keselamatan dan Menyelamat Air Peringkat Kebangsaan 2018 di Kem Tekali hari ini. - Foto Bernama
Dr Maszlee Malik (tengah) menunjukkan sijil perasmian Program 'Life Saving Skills' dan Modul Kesedaran Keselamatan dan Menyelamat Air Peringkat Kebangsaan 2018 di Kem Tekali hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan beliau melarang Ahli Parlimen Pembangkang daripada memasuki sekolah kerajaan.

Sebaliknya, mengulangi kenyataannya di Dewan Rakyat dua hari lepas bahawa wakil rakyat bukan kerajaan perlu mengikut prosedur untuk berbuat demikian.

"Jangan 'misquote' (salah lapor) saya, yang saya katakan tak betul bila pakai perkataan 'banned' atau melarang, saya tak pernah cakap begitu," katanya selepas melancarkan program 'Life Saving Skills' dan Modul Kesedaran Keselamatan dan Menyelamat di Air 2018 di sini hari ini.

Dalam kenyataannya di Dewan Rakyat Isnin lepas, Maszlee dilapor menegaskan Ahli Parlimen pembangkang yang ingin masuk sekolah kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri.

Kenyataannya mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk anggota Pakatan Harapan sendiri antara lain Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad yang menggesa agar wakil rakyat pembangkang dihormati dan tidak dilarang memasuki institusi pendidikan.

Ditanya mengenai dakwaan aktivis sosial Hishamuddin Rais yang mendakwa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghalangnya menyampaikan kuliah dalam satu program di kampus itu, Maszlee berkata ia tidak sepatutnya berlaku.

Maszlee berkata beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa setiap universiti awam dalam negara adalah ruang intelektual terbuka.

"Saya meminta UKM memberi penjelasan. Saya menyatakan dengan jelas pendirian kita ialah universiti sepatutnya menjadi ruang terbuka intelektual.

Artikel Berkaitan:

"Dua minggu selepas jadi menteri, saya ada membuat kenyataan bahawa apa-apa kekangan di universiti haruslah diketepikan bagi membolehkan forum dan perdebatan diadakan," katanya. - Bernama