Pemilihan MHC: Tengku Hassanal tarik diri

Tengku Hassanal bergambar bersama Subahan di London baru-baru ini.
Tengku Hassanal bergambar bersama Subahan di London baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemelut pemilihan jawatankuasa tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) penggal 2019-2023, semakin rumit apabila Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden badan induk itu.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra Bipin Chandra, hari ini.

Perkembangan itu sekali gus bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Jadadish bagi jawatan timbalan presiden pada mesyuarat agung tahunan (AGM) MHC, 16 November ini.

"Tengku Hassanal menarik diri, namun kami masih menunggu penyerahan borang rasmi daripada baginda," katanya pada sidang media bagi memaklumkan perkembangan terkini di pejabat MHC di Stadium Hoki Nasional di sini.

Beliau turut mengesahkan sebanyak tiga daripada 22 calon bagi jawatan naib presiden telah menarik diri setakat pagi ini, iaitu M Gobinathan, S Sathis Kumar dan Mohd Yazid Mohd Yunus.

Bagaimanapun, pihaknya belum menerima sebarang makluman mengenai penarikan diri secara rasmi sama ada menerusi surat atau e-mel daripada beberapa individu yang dispekulasikan akan berbuat demikian.

Antara calon yang dilaporkan akan menarik diri ialah K Maheswari yang mencabar penyandang, Prof Datuk Dr S Shamala bagi jawatan Timbalan Presiden Wanita serta Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor (JHA), Datuk Majid Manjit Abdullah yang dicalonkan untuk jawatan naib presiden.

Sementara itu, mengenai kontroversi borang pencalonan Persatuan Hoki Kedah (KHA), Jadadish berkata, MHC menerima dua pencalonan dari negeri itu yang dihantar pada tarikh berasingan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, borang pertama dihantar pada 24 Oktober lalu yang ditandatangani oleh presidennya, Mohd Asmirul Anuar yang mencalonkan Datuk Seri Subahan Kamal untuk jawatan presiden dan Shamala.

Borang kedua pula diterima pada 1 November yang ditandatangani setiausahanya, Sandra Gesan mencadangkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun untuk jawatan presiden dan Maheswari.

"Kami kemudiannya, mengambil tindakan dengan menghantar surat maklum balas pada 4 Oktober kepada KHA untuk mengesahkan borang mana yang akan digunakan dan kami sudah menerima maklum balas pada tarikh sama.

"MHC menerima surat maklum balas ditandatangani presiden berkenaan pengesahan borang pencalonan, beliau mengesahkan bahawa senarai rasmi adalah yang sudah dihantar kepada KHM pada tarikh 24 Oktober sahaja," katanya.

Keputusan itu menyaksikan Kamarudin gagal mencabar penyandang, Subahan bagi jawatan nombor satu kerana kurang satu pencalonan daripada minimum tiga pencalonan untuk bertanding bagi jawatan presiden, sekali gus Subahan yang menerima 13 pencalonan mengekalkan jawatannya dengan menang tanpa bertanding. - Bernama