Santai di Lagun Kuala Ibai

A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jika hendak dibandingkan dengan Pantai Batu Burok, Pantai Tok Jembal, Pantai Pandak dan lokasi peranginan lain di Terengganu, Taman Awam Lagun Kuala Ibai di sini tidaklah sepopular nama-nama yang disebut itu.

Terletak kira-kira empat kilometer dari bandaraya Kuala Terengganu, lagun Kuala Ibai yang berada berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai masjid terapung sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri.

Lagunnya yang cantik terbentuk dengan hamparan pasir memutih tatkala air surut memberi peluang pengunjung merasai kesejukan air, taman permainan yang menggamit kehadiran kanak-kanak dan landskap kawasan taman rekreasi yang cantik.

Kesemua keindahan itu menjadikan lagun Kuala Ibai salah satu kawasan pelancongan Terengganu yang perlu diteroka oleh pengunjung apabila datang bercuti ke negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Lagun Kuala Ibai sentiasa meriah dengan kunjungan orang ramai khususnya pada waktu petang dan jumlahnya meningkat berkali ganda setiap hujung minggu atau pada cuti umum.

Sama ada datang bersama ahli keluarga atau teman-teman, tujuan mereka tetap sama iaitu untuk beriadah, berkelah dan bersantai dengan mereka yang tersayang.

Penat bermain air, berkejaran di taman permainan dan puas menikmati keindahan alam, pengunjung boleh menikmati bekalan makanan dibawa atas hamparan rumput yang menghijau sambil dipayungi pokok-pokok rhu merendang.

Jika tidak sempat membawa bekal, usah bimbang dan khuatir kerana deretan gerai di sepanjang jalan lagun bersedia menawarkan anda pelbagai jenis makanan menyelerakan.

Selain makanan popular Terengganu iaitu keropok dan sate ikan, pengunjung boleh merasai keenakan pisang keju, ayam goreng berharga serendah RM1 seketul, laksa penang, nasi bajet dan pelbagai jenis minuman.

Bagi mereka yang gemar meneroka alam secara santai, perkhidmatan sewa basikal elektrik atau lebih dikenali sebagai odong-odong dan pelbagai jenis motosikal turut disediakan.

Anda bebas menikmati keindahan lagun Kuala Ibai sambil menghirup udara segar.

Pemandangannya yang cantik juga menjadikan lagun Kuala Ibai lokasi pilihan pasangan pengantin yang baharu diijab kabul dan pelajar-pelajar menamatkan pengajian merakamkan detik-detik bersejarah mereka.

Ingin merasai keseronokan bersantai di sini? Anda patut mencubanya sendiri bila datang ke Kuala Terengganu!