DAPSY Selangor kecam kenyataan MB Perak

Siew Ki dan Ahmad Faizal
Siew Ki dan Ahmad Faizal
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengecam kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dianggap sebagai satu sindiran dan penghinaan kepada parti itu.

Ketuanya, Wong Siew Ki berkata, sebagai seorang pemimpin, Ahmad Faizal seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh memerangkap Pakatan Harapan (PH) dengan isu-isu tertentu bagi memecahbelahkan keharmonian gabungan itu.

Menurutnya, DAP amat menghargai persahabatan dan perjuangan bersama rakan-rakan komponen lain yang bekerja keras membina Malaysia Baharu.

"DAPSY Selangor mengecam dan menuntut penjelasan berkenaan kenyataan itu yang disifatkan satu bentuk penghinaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, satu klip video tular memaparkan Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu dilihat memberitahu penduduk dan mengakui mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya iaitu DAP.

Ahmad Faizal yang ketika itu dilihat turut bersama calon PH untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini dipercayai sedang berbual dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai mengenai situasi di Perak.

Bagaimanapun, beliau selepas itu menafikan berhadapan masalah dengan DAP Perak dan memaklumkan bahawa kenyataannya di dalam video berkenaan dipetik di luar konteks.

Mengulas lanjut, Siew Ki berkata, kenyataan balas Ahmad Faizal berhubung perkara itu tidak dapat diterima sama sekali oleh pihaknya.

Artikel Berkaitan:

"DAPSY Selangor hanya mengeluarkan kenyataan ini dua hari selepas kenyataan Ahmad Faizal kerana kami mempunyai kepercayaan terhadap parti komponen dan bersedia memberi ruang dan masa supaya hal ini dapat diperjelaskan untuk meleraikan kerumitan ini, namun kenyataan balasnya itu tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN MB Perak nafi ada masalah dengan DAP