Najib serah kepada mahkamah tentukan keputusan esok

Najib (kiri) bersama calon BN, Wee Jeck Seng sempena program sarapan berkenaan di Pontian hari ini.
Najib (kiri) bersama calon BN, Wee Jeck Seng sempena program sarapan berkenaan di Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada mahkamah bagi membuat keputusan terhadap pendakwaan bagi tujuh pertuduhan pecah amanah terhadapnya.

Najib berkata, beliau tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan ketika ini dan hanya menunggu keputusan mahkamah esok.

“Tiada apa-apa, kita tunggu sajalah (keputusan mahkamah) tapi kita kena teruskan usaha kita sampai habis," katanya kepada pemberita sempena program sarapan pagi bersama orang ramai di restoran Kheng Guan Hiong berhampiran Pasar Awam Pontian pagi tadi.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan akhir bagi pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu esok berhubung tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan setelah mendengar hujah daripada pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas termasuk daripada barisan peguam bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah 23 Oktober lalu.

Thomas menutup kes pendakwaan berkenaan setelah Mahkamah Tinggi selesai mendengar keterangan daripada 57 saksi, antaranya membabitkan pegawai kanan Ambank, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan SRC.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang mengambil masa selama 58 hari di peringkat kes pendakwaan disifatkan antara yang paling singkat berlangsung setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Prosiding yang mendapat perhatian seluruh dunia itu bermula 3 April lalu dengan mendengar keterangan saksi pertama iaitu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah.

Ketika diminta mengulas mengenai PRK Tanjung Piai yang berlangsung pada 16 November ini, Najib yang kini popular dengan gelaran ‘Bossku’ optimis BN akan memenangi semula kerusi Parlimen tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, BN yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi Cina apabila melihat sendiri sokongan yang diberikan ketika berkunjung ke pusat daerah mengundi (PDM) di sekitar Tanjung Piai.

Sementara itu, Najib memaklumkan untuk hadir semula ke Tanjung Piai pada 14 hingga 15 November ini bagi membantu memenangkan calon BN pada kempen PRK.

“Insya-ALLAH, 14 November hingga 15 November nanti, saya akan datang semula,” katanya.