Najib kesal langkah jual aset, saham Khazanah

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PEKAN - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal langkah diambil kerajaan PH menampung keperluan kewangan menerusi penjualan aset dan saham Khazanah Nasional Bhd.

Menurutnya, tindakan Khazanah yang menjadikan Mitsui & Co Ltd (Mitsui) pemegang saham terbesar dalam IHH Healthcare Berhad (IHH), akan menjejaskan rakyat.

"IHH yang juga pemilik rangkaian hospital swasta terbesar di Asia, Malaysia, Singapura dan Turki, adalah kumpulan hospital kedua terbesar di dunia dan India. Syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2012.

"Selama sembilan tahun sebagai PM saya menambah aset badan tersebut, hari ini mereka nak jual semata mata nak menampung keperluan. Ini satu syarikat global yang menjadi kebanggaan kita, boleh menjadi perintis kepada kita.

“Anak anak kita yang lulus sebagai doktor dan pakar boleh bekerja di hospital antarabangsa, mendapat pengalaman dan kembali. Tetapi kekuasaan syarikat itu kini 32 peratus milik Mitsui manakala kita tinggal 26 peratus saham,” katanya.

Beliau berkata sebagai mengulas kenyataannya yang mempertikaikan tindakan kerajaan menjual saham IHH kepada Mitsui di Facebooknya, minggu lalu.

Menurutnya, IHH memiliki 27 hospital di Turki, 14 di India dan 14 di singapura milik rakyat Malaysia melalui khazanah.

Terdahulu ketika berucap, Najib secara berkias berkata, apabila penghuni rumah berubah, rumah tersebut tidak patut diruntuhkan sebaliknya dibuat penambahbaikan jika ada kekurangan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tak ada anjung tambah anjung. Dapur tak besar, besarkan. Luaskan. Inilah konsep kepimpinan. Bila ketua ganti ketua baru, dia tidak memusnahkan apa yang dilakukan ketua sebelumnya. Dia melakukan usaha memajukan dan membawa ke hadapan sesebuah organisasi atau institusi.

“Seperti tindakan dan usaha dua Menteri Besar Pahang iaitu Datuk Seri Adnan Yaakub dan Datuk Wan Rusdy Wan Mamat yang menyambung usaha Yayasan Pahang sebagai sebuah insistusi membantu rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan anjuran Yayasan Pahang dan Pejabat Ahli Parlimen Pekan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Ampuan Fatimah di sini, hari ini.

Seramai 647 murid dari 14 sekolah seluruh Dun Bebar menerima bantuan khas sekolah rendah dalam majlis yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli.