Pencemaran di Sungai Jimah: Syarikat Kualiti Alam Sendayan dikompaun

Anggota JAS Negeri Sembilan melakukan pemantauan kualiti air di Sungai Jimah.
Anggota JAS Negeri Sembilan melakukan pemantauan kualiti air di Sungai Jimah.
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Sendayan dikenakan empat kompaun oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan kerana melakukan pencemaran di Sungai Jimah.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, pencemaran yang berlaku di Sungai Jimah itu telah dikesan sejak Oktober lalu, yang berpunca daripada pusat kualiti alam itu.

Menurutnya, syarikat tersebut telah diberi notis pada 17 dan 31 Oktober lalu untuk membersihkan semua kolam yang tercemar dan pemantauan yang dilakukan mendapati kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan.

"Pencemaran di Sungai Jimah masih ada tetapi dalam kuantiti yang minimum dan situasi ini terus dipantau oleh JAS dengan lebih kerap agar sungai tersebut benar-benar bersih serta bebas daripada sebarang pencemaran.

"Sejak tiga minggu lalu Jabatan Kesihatan negeri sudah melakukan siasatan awal dan mendapati lebih 50 penduduk di situ terkesan kerana terdedah dengan bau busuk bila hujan.

"Kebanyakan penduduk mengalami gejala ringan seperti sakit kepala, loya dan pedih mata. Mereka yang mengalami gejala ini mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik kerajaan atau swasta. Tiada kes yang serius yang memerlukan rawatan atau dimasukkan ke hospital," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Veerapan berkata, semua penduduk di kawasan ini boleh terjejas berikutan pencemaran yang berlaku di Sungai Jimah.

Namun katanya, gejala yang dialami penduduk berlaku dalam tempoh singkat sahaja kerana bau busuk itu akan hilang selepas hujan.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk Kampung Jimah Lama yang tinggal berdekatan tebing sungai dinasihat tidak menggunakan air sungai dan mengelak kanak-kanak dari bermain berhampiran sungai," katanya.

Jumaat lalu, satu video tular yang mendakwa air Sungai Jimah berbuih serta mengeluarkan bau busuk disebabkan sisa toksik dari Pusat Kualiti Alam sehingga menyebabkan penduduk berhampiran terjejas dan mengalami muntah-muntah serta pening.