Koridor ekonomi baharu di Johor untuk bangunkan pekan, bandar kecil

Mohamed Azmin (tiga dari kiri) bersama calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini (tengah) pada Program Sembang Santai-Mesra Harapan Kampung Lubok Sawah di Kampung Lubok Sawah hari ini.
- Foto Bernama
Mohamed Azmin (tiga dari kiri) bersama calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini (tengah) pada Program Sembang Santai-Mesra Harapan Kampung Lubok Sawah di Kampung Lubok Sawah hari ini.
- Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan akan mewujudkan sebuah koridor ekonomi baharu di Johor yang akan akan menggalakkan pembangunan sekali gus merangsang aktiviti ekonomi di daerah-daerah kecil di negeri ini mulai tahun hadapan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah pun mendengar taklimat semalam mengenai cadangan itu dan akan membentangkannya kepada Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita akan wujudkan nukleus-nukleus baharu pembangunan untuk membangunkan bandar-bandar kecil hinggalah ke negeri Johor.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, kita tidak mahu pembangunan ini hanya tertumpu kepada Lembah Klang ataupun di bandar raya sahaja tetapi daerah-daerah kecil ini perlu mendapat perhatian daripada kerajaan untuk dibangunkan kerana ia dapat memberikan kebaikan kepada penduduk berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sembang Santai Mesra Harapan bersama penduduk Kampung Bakar Arang di sini yang turut dihadiri Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar serta calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, koridor ekonomi baharu itu merupakan pelan jangka masa panjang yang mungkin melangkaui tempoh 10 tahun bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang rancak.

Katanya, buat masa ini, pembangunan dapat disaksikan di kawasan pantai seperti Muar dan Batu Pahat dan pihaknya mahu melihat pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar.

“Jumlah bandar-bandar ataupun pekan-pekan yang akan dibangunkan masih dalam pertimbangan dan saya kira Tanjung Piai tidak akan terkecuali untuk dilihat secara menyeluruh tetapi secara spesifik tertakluk kepada perbincangan di peringkat persekutuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai pelan pembangunan Tanjung Piai yang dicadangkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu.

Mohamed Azmin berkata, pelan itu akan diteliti di peringkat kementerian dan EAC.

Katanya, buat masa ini kira-kira RM20 juta telah diluluskan untuk pembangunan di Parlimen berkenaan yang mana peruntukan itu diluluskan semasa bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai Allahyarham, Datuk Dr Md Farid Md Rafik masih hidup. - Bernama