Bayi Cina dirai sempena Maulidur Rasul

Tuck Ming dan isteri, Sun Liang di samping bayi mereka yang turut diraikan sempena Program Permata Maulidur Rasul di HSNZ semalam. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Tuck Ming dan isteri, Sun Liang di samping bayi mereka yang turut diraikan sempena Program Permata Maulidur Rasul di HSNZ semalam. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Saya ingatkan hanya bayi kepada rakan beragama Islam sahaja yang diraikan, rupa-rupanya bayi kami pun tidak disisihkan," kata bapa kepada bayi perempuan berketurunan Cina yang diraikan sempena Program Permata Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam.

Fong Tuck Ming, 39, berkata, dia terharu kerana pihak hospital turut meraikan bayinya yang dilahirkan pada 8.50 malam kelmarin sempena Sambutan Maulidur Rasul yang diraikan umat Islam.

Lebih manis apabila dia dan isteri serta bayi perempuannya seberat 2.65 kilogram (kg) itu turut menerima kunjungan dan sumbangan disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, dia dan isteri, Sun Liang, 34, berbesar hati kerana pengalaman dilaluinya itu menggambarkan sikap pemurah serta membuktikan nilai perpaduan tinggi dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam di negeri ini.

"Kami rasa terharu atas kesediaan pihak hospital yang turut meraikan bayi kami yang kebetulan lahir pada tarikh yang sama.

Ahmad Samsuri (tengah) bersama isteri dan kepimpinan kerajaan negeri melawat bayi yang dilahirkan sempena Program Permata Maulidur Rasul di HSNZ semalam. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Ahmad Samsuri (tengah) bersama isteri dan kepimpinan kerajaan negeri melawat bayi yang dilahirkan sempena Program Permata Maulidur Rasul di HSNZ semalam. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

"Kami berterima kasih kepada pihak hospital dan juga kerajaan negeri yang menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan bayi kepada kami," katanya.

Bercerita mengenai pengalaman pertama menimang cahaya mata, Tuck Ming berasal dari Negeri Sembilan berkata, dia dan isteri telah lama menunggu kehadiran bayinya selepas mendirikan rumahtangga lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, isteri saya pernah hamil dua kali, malangnya dia mengalami keguguran.

"Bayi ini menjadi satu-satunya cahaya mata kami kerana isteri saya disahkan tidak boleh hamil lagi," katanya.

Seramai 56 bayi terdiri daripada 31 bayi lelaki dan 25 perempuan diraikan di seluruh Terengganu sempena sambutan Maulidur Rasul, semalam.