Lula kembali raih sokongan selepas bebas penjara

Bekas presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva (Lula) mengibarkan bendera Brazil ketika diusung penyokong setianya dalam perhimpunan di Sao Bernardo do Campo semalam. - Foto AFP
A
A

SAO BERNARDO DO CAMPO - Pemimpin sayap kiri Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva (Lula) kembali menyampaikan ucapan kepada penyokongnya sehari selepas dibebaskan dari penjara Jumaat lalu.

Dalam ucapannya, Lula mengecam musuh utamanya, Presiden Jair Bolsonaro yang menggelarnya penipu dan juga pihak yang memenjarakannya tahun lalu kerana rasuah.

"Bolsonaro dilantik mentadbir untuk rakyat Brazil, bukannya untuk mentadbir militia di Rio de Janeiro," kata bekas presiden Brazil itu dalam ucapannya yang berlangsung hampir satu jam semalam.

Kehadiran Lula, 74, di kubu kuatnya di Sao Bernardo do Campo, berhampiran bandar Sao Paulo disambut meriah penyokong setia yang berasak-asak mahu memeluk dan bersalaman dengan bekas budak pengilat kasut yang menjadi salah seorang presiden Brazil paling popular itu.

"Lula adalah presiden terbaik Brazil dan saya selalu percaya dia akan bebas dari penjara," kata salah seorang penyokong Lula, Tamara Blanco.

Terdahulu, Lula dibebaskan berikutan keputusan kontroversi Mahkamah Agung Khamis lalu yang membebaskan ribuan banduan.

Keputusan tersebut membatalkan peraturan yang memerlukan penjenayah yang disabitkan dihukum penjara setelah kalah rayuan pertama.

Banduan terbabit akan kekal bebas sehingga kehabisan peluang untuk sebarang rayuan, proses yang dianggap pengkritik akan mengambil masa bertahun-tahun dalam kes melibatkan mereka yang mampu mengupah peguam mahal.

Sementara itu, Bolsonaro menerusi ciapan di laman Twitter berkata, Lula bebas buat sementara namun masih bersalah.

Keputusan mahkamah serta pembebasan Lula itu turut mencetuskan protes oleh penunjuk perasaan prokerajaan di Rio de Janeiro dan Sao Paulo semalam. - AFP