Jual barang lusuh sara hidup

See Chu (dua, kiri) bersama ahli PKR Cabang Simpang Renggam yang bergotong-royong membersihkan rumahnya.
See Chu (dua, kiri) bersama ahli PKR Cabang Simpang Renggam yang bergotong-royong membersihkan rumahnya.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM – Ibu tunggal di Taman Berjaya, di sini, terpaksa menyara hidup dengan mencari dan menjual barangan lusuh selepas kematian suami, enam tahun lalu.

Chee See Chu, 59, berkata, sebelum ini dia tinggal bersama mendiang suami dan lima anak tirinya, namun selepas kematian suami, dia tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

“Sebelum ini bila suami ada, dia yang tanggung semuanya termasuk makanan dan perbelanjaan di rumah ini. Namun, bila suami sudah tidak ada, terpaksalah saya berusaha sendiri untuk menyara hidup dan tak mahu susahkan sesiapa.

“Saya sudah mengumpul dan menjual barangan lusuh sejak 20 tahun lalu dan dengan pendapatan tidak seberapa ini dan dengan keadaan tidak seberapa sihat, cukup sekadar untuk menampung kehidupan saya seorang diri sahaja,” katanya.

Dia ditemui di rumahnya semasa menerima kunjungan Program Ziarah Amal Jalinan Kasih anjuran Srikandi PKR Negeri Johor dengan kerjasama PKR Cabang Simpang Renggam, semalam.

Menurutnya, disebabkan sikapnya yang gemar mengutip barang-barangan lusuh di sekitar kawasan perumahannya, dia tiada pilihan lain selain menjadikan kawasan rumahnya sebagai tempat simpanan sementara sebelum barangan tersebut dijual.

Sementara itu, Ketua Srikandi PKR Negeri, Nur Khurul Ain Abdul Samat berkata, hampir satu tan barangan lusuh di rumah See Chu berjaya dikumpulkan sebelum dijual kepada penjual barangan lusuh.

“Hasil jualan barangan lusuh tersebut bernilai hampir RM1,000 dan diberikan kepada See Chu dan sewaktu kami datang ke rumah ini, memang kami agak terkejut kerana keadaan rumah ini yang tidak ubah seperti tempat pengumpulan sampah.

Artikel Berkaitan:

“Hampir segenap ruang di dalam rumah ini dipenuhi dengan barang-barangan lusuh seperti plastik, kertas, besi serta kotak dan memang keadaan rumah ini memang tidak selesa untuk didiami oleh seorang wanita warga emas,” katanya.

Menurutnya, disebabkan barangan lusuh yang dilonggokkan itu menyebabkan bau kurang menyenangkan dan keadaan itu dikhuatiri menyebabkan kehadiran tikus dan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes yang mencetuskan ketidakselesaan di kawasan persekitaran taman.

Katanya, selain mencuci kesemua kawasan rumah See Chu, pihaknya juga turut membelikan beberapa alat kelengkapan rumah seperti dapur baharu dan barangan keperluan harian untuk digunakan oleh See Chu.

“Kami harap See Chu tidak jadikan rumahnya seperti sebelum ini dan kami sedia membantu untuk memberikan perkhidmatan kami kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa pada masa akan datang,” katanya.