'Alhamdulillah...Ustaz Azhar Idrus semakin baik'

Gambar Syed Mohd Norhisyam (dua dari kanan) yang dirakam ketika menziarahi Ustaz Azhar di hospital. FOTO: Facebook Syed Mohd Norhisyam Al-Idrus.
Gambar Syed Mohd Norhisyam (dua dari kanan) yang dirakam ketika menziarahi Ustaz Azhar di hospital. FOTO: Facebook Syed Mohd Norhisyam Al-Idrus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tahap kesihatan penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI kini bertambah baik selepas menjalani pembedahan bagi memasang implan untuk menyambung tulang lengan pada bahagian atas sikunya yang patah pada 5 November lalu.

Perkembangan itu diberitahu menerusi Facebook penceramah agama, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al-Idrus yang dimuat naik semalam ketika menziarahi Ustaz Azhar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

"Alhamdulillah berkat doa ramai yang menyayangi al-fadhil guru kita, Ustaz Azhar Idrus, keadaan beliau semakin baik. Dah boleh bersembang dan bergurau. Kata beliau, tangan kanan sihat seperti biasa, boleh akad nikoh (nikah)!

"Ikutkan hati, nak duduk lebih lama...tapi memikirkan ustaz perlu rehat, cukuplah sekadar dapat bertemu mata melepaskan rindu," tulisnya.

Turut dimuat naik ialah gambar yang dirakam beramai-ramai bersama Ustaz Azhar di katil wad HSNZ.

Sementara itu, pembantu khasnya, Wan Safari Wan Ahmad berkata, belum ada tarikh ditetapkan untuk penceramah terkenal itu dibenarkan pulang ke rumah.

"Menurut doktor, beliau perlu menghabiskan ubat antibiotik mengikut jadual sebelum dibenarkan keluar hospital.

"Ia juga bergantung kepada tahap kesihatan beliau supaya beliau benar-benar sihat sebelum dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ustaz Azhar dilaporkan patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal sebaik selesai menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 6.30 petang setelah basikal yang ditunggang beliau tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan penceramah itu terpelanting.

Ekoran insiden itu, penceramah bebas berkenaan dikejarkan ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan.