PH formula terbaik untuk Sarawak: Mat Sabu

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SIBU - Gabungan empat parti politik yang bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH) merupakan formula terbaik untuk memerintah Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, ini kerana PH yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Amanah dianggotai rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Menurutnya, rakyat Sarawak semakin yakin dengan PH selepas kejayaan mengambil alih pucuk pimpinan negara selepas pilihan raya umum lalu.

“Bagi Sarawak, PH merupakan formula terbaik kerana mewakili semua suku kaum," katanya semasa berucap pada majlis Makan Malam ‘Memenuhi Harapan, Mendukung Aspirasi’ di sini malam tadi.

Beliau berkata, Amanah yang merupakan antara parti komponen PH mendapat sambutan menggalakkan daripada pengundi-pengundi di Sarawak pada PRN yang lalu.

“Ujian pertama Amanah walaupun baru tak sampai setahun ditubuhkan telah bertanding di 13 kerusi (Dewan Undangan Negeri) terutama di kawasan pedalaman kerana kita tidak mahu BN (Barisan Nasional) menang percuma. Beberapa DUN kita tidak hilang wang pertaruhan dan pilihan raya Parlimen pula undi kita perolehi amat memberangsangkan.

“Pada pilihan raya itu pula undi kita peroleh amat memberangsangkan dan pilihan raya tahun depan insya-ALLAH Amanah dan PH akan ambil alih pentadbiran Sarawak," tegasnya.

Sementara itu pada sidang akhbar, Mohamad berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan manifesto khas untuk Sarawak akan dibuat bila-bila masa jika ada panggilan daripada Pengerusi PH Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perbincangan berhubung pengagihan kerusi antara empat komponen PH dan manifesto khas tersebut boleh disiapkan sekurang-kurangnya awal tahun depan.

Terdahulu, Pengerusi Amanah Sarawak, Abang Abdul Khalil Abang Naili dalam ucapannya alu-aluannya berkata, untuk memastikan Sarawak maju, polisi kerajaan Sarawak mestilah sama dengan kerajaan Persekutuan.

“Polisi kerajaan Sarawak mestilah selari dengan kerajaan Persekutuan, kalau tidak rakyat Sarawak akan menderita. Kerajaan Persekutuan sedaya upaya membantu rakyat Sarawak," katanya. - Bernama