Kemenangan bermotivasi untuk skuad negara - Cheng Hoe

Pemain Malaysia memberi penghormatan kepada para penyokong selepas berakhirnya - Foto Bernama
Pemain Malaysia memberi penghormatan kepada para penyokong selepas berakhirnya - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyifatkan kejayaan menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, malam ini sebagai satu kemenangan bermotivasi.

Kejayaan ke atas pasukan di ranking ke-116 dunia itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, memberi momentum positif menjelang dua aksi geti Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 November ini.

Menurut Cheng Hoe, persembahan dipamerkan barisan pemain negara yang berkeyakinan tinggi menjadikan aksi itu antara perlawanan terbaik pasukan negara.

Ketua jurulatih pasukan Malaysia Tan Cheng Hoe (kanan) dan ketua jurulatih pasukan Tajikistan Usmon Toshev (kiri) pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier Satu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Foto Bernama
Ketua jurulatih pasukan Malaysia Tan Cheng Hoe (kanan) dan ketua jurulatih pasukan Tajikistan Usmon Toshev (kiri) pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier Satu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Foto Bernama

“Saya rasa ini satu kemenangan bermotivasi untuk pasukan. Tajikistan bukan calang-calang pasukan untuk ditewaskan. Keseluruhan pemain bermain dengan baik walaupun ada sesetengah pemain masih keletihan.

“Tetapi saya yakin pemain telah bermain dengan baik dan ini perlawanan terbaik pasukan setakat ini jika diambil kira intensiti permainan yang sangat tinggi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau Malaya tundukkan Tajikistan

Bagaimanapun, Cheng Hoe menggesa jentera serangan pasukan kebangsaan bangkit memperkemaskan sentuhan dalam perlawanan seterusnya.

Pada aksi malam ini, penyerang Muhammad Safawi Rasid menjaringkan gol kemenangan negara pada minit ke-72 untuk menewaskan Tajikistan yang terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas penjaga gol Rustam Yatimov dilayangkan kad merah pada minit ke-46.

Malaysia kini mengumpul tiga mata dan menduduki tempat keempat dalam Kumpulan G, dibezakan empat mata dengan pendahulu Thailand yang berkongsi mata dengan Vietnam.

Kemenangan ke atas kedua-dua pasukan jiran itu bukan sahaja menghidupkan kembali peluang Harimau Malaya, malah mengubati kekecewaan penyokong rentetan dua kekalahan mudah dialami skuad kebangsaan dalam tiga aksi pertama sebelum ini.

Malaysia tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi, bulan lepas. - Bernama