KPKT sasar 1 juta rumah mampu milik pada 2029

Zuraida meninjau pameran hartanah di Spice Arena, hari ini.
Zuraida meninjau pameran hartanah di Spice Arena, hari ini.
A
A
A

AYAN BARU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyasarkan sejuta buah rumah mampu milik dibina dalam tempoh 10 tahun bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 100,000 unit dijangka dibina pada tahun ini di seluruh negara.

"Bermula tahun ini, kita akan membina 100,000 unit rumah mampu milik. Ia termasuk rumah yang berharga bawah RM300,000 untuk pembeli yang mempunyai pendapatan seisi rumah bawah RM3,000.

"Selain itu, kita juga menyediakan rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 untuk pembeli yang mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM3,000 ke atas hingga RM5,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada siding media selepas merasmikan Ekspo Pameran Tanah Pulau Pinang (Summit) 2019 di Spice Arena di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha itu membolehkan rakyat berpendapatan rendah dapat memiliki rumah dengan kaedah diusahakan kerajaan dan pembinaan tidak memberi kesan kepada lambakan rumah tidak terjual di negara ini.

“Lambakan rumah yang belum terjual, kita ada kaedah untuk menjualnya seperti menjualnya dalam ekspo contoh yang dianjurkan pada hari ini, kaedah sewa beli, sewa dan skim bank.

"Malah, rumah mampu milik yang berharga RM300,000 sudah termasuk dalam jumlah 100,000 unit yang dibina pada tahun ini. Jika kita ada lebih 100,000 unit pada tahun ini pun tidak apa, sebab selepas 10 tahun, kita akan mempunyai 1 juta unit rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zuraida berkata, Bank Negara Malaysia juga sudah mengadakan beberapa siri perbincangan berhubung syarat pinjaman bank bagi memudahkan urusan belian rumah.

“Dalam perbincangan itu, ada beberapa perkara yang boleh dipanjangkan lagi antaranya isu deposit. Tetapi, apa yang penting adalah kaedah untuk memilikinya.

“Ada beberapa kaedah antaranya sewa dan sewa beli yang boleh membantu pembeli berpotensi untuk memiliki rumah,” katanya.

Menurutnya, melalui kaedah itu, peminjam tidak perlu cari wang deposit malah hanya perlu sewa dan selepas lima tahun wang itu boleh dijadikan sebagai modal untuk membeli rumah terbabit.

“Kaedah ini untuk memudahkan pembeli kerana pada mereka, untuk bayaran bulanan, tiada masalah," katanya.