'Lebih baik Tengku Razaleigh nasihat parti sendiri dulu'

Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya menempelak kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta rakyat tidak lagi mendengar cakap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abu Bakar berkata, Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO sepatutnya menasihatkan partinya sendiri supaya berada di landasan yang betul.

"Nasihat parti sendiri dahulu sebelum mengkritik Dr Mahathir Dr Mahathir ketika ini memikul amanah yang berat untuk memulihkan semula negara termasuk menyelesaikan bebanan hutang yang diwarisi oleh kerajaan terdahulu.

"Mengapa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau (Razaleigh) tidak berusaha menasihatkan pemimpin UMNO mengenai salah laku yang berleluasa ketika itu? Mengapa sekarang ini beliau nak bercakap soal itu dan ini serta menyalahkan Dr Mahathir?," katanya hari ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri yang dipilih majoriti rakyat untuk mentadbir kerajaan dan negara.

Beliau turut mempersoalkan relevan Razaleigh mengeluarkan kenyataan tersebut sekiranya pemimpin UMNO itu gagal menasihati parti sendiri sebelum ini.

Khamis lalu, portal umno-online.my melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang itu yang menasihatkan rakyat khususnya pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai supaya tidak mendengar cakap Dr Mahathir kerana tidak menunaikan janji PRU14.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Artikel Berkaitan: