Keharmonian melalui bahasa

A
A
A

ISU sekolah jenis kebangsaan sudah lama diperkatakan rakyat Malaysia sama ada yang menyokong atau menentang penubuhan dan pengekalan sekolah jenis kebangsaan tersebut.

Pelbagai hujah diberikan oleh kedua-dua belah pihak berkaitan perkara tersebut.

Kemuncaknya kini terdapat satu permohonan yang difailkan pada 23 Oktober 2019 oleh seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan suatu kebenaran untuk mendapat perintah bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa memberi budi bicara kepada Menteri Pendidikan menubuhkan sekolah vernakular tersebut kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan meminta kebenaran itu dijangka diputuskan esok iaitu 11 November 2019.

Jika mahkamah memberikan kebenaran, pemohon bolehlah meneruskan cabarannya di Mahkamah Persekutuan berdasarkan merit kesnya, namun jika sebaliknya, pemohon masih boleh memfailkan permohonannya di Mahkamah Tinggi yang tidak memerlukan kebenaran Mahkamah Persekutuan.

Setakat ini isu yang dihujahkan di mahkamah adalah berkaitan keperluan prosedural sahaja.

Merit kepada kes ini belum didengar kerana isu-isu tatacara ini perlu diselesaikan terdahulu.

Jika kebenaran diberikan, pihak-pihak berkenaan akan diberikan peluang memfailkan semua kertas kausa berkaitan dan berhujah tentang merit pula.

Artikel Berkaitan:

Saya difahamkan perkara yang dimohon sebenarnya berpaksikan kepada kedudukan bahasa kebangsaan.

Bahasa kebangsaan hendaklah dimartabatkan dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan rakyat Malaysia boleh berbahasa kebangsaan.

Namun, hak sesebuah kaum mempelajari bahasa ibundanya tidak luntur daripada jaminan Perlembagaan Persekutuan kerana ia sudah tersurat dan mesti dipertahan.

Bahasa kebangsaan merupakan ejen penyatuan kepada rakyat Malaysia, jika ada yang tidak menguasainya sudah pasti komunikasi antara satu pihak dengan pihak yang lain akan berada di tahap yang janggal.

Walaupun isu itu mencuit sensitiviti, namun agenda negara yang bersatu-padu, memahami antara satu sama lain, berkomunikasi dengan efektif perlu lebih diberikan perhatian.

Sensiviti kaum itu sendiri dengan sendirinya akan dapat diredakan jika rakyat berbilang kaum boleh duduk semeja dan meluahkan isi hati dengan tulus dan difahami pihak yang satu lagi.

Penghujahan

Berbalik kepada kes yang difailkan, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang mahu menyertai bersama dalam penghujahan mereka sama ada menyokong atau membantah.

Perkembangan ini sangat baik kerana memberi peluang kepada mahkamah meneliti hujahan dengan lebih terperinci lagi.

Di peringkat ini bantahan yang dibuat berdasarkan sama ada permohonan tersebut dibuat betul mengikut prosedurnya iaitu mendapatkan kebenaran terus daripada Mahkamah Persekutuan.

Secara lebih terperincinya, mahkamah perlu memutuskan sama ada permohonan itu tertakluk kepada Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan yang perlu difailkan di Mahkamah Tinggi tanpa keperluan kebenaran ataupun menurut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Isu bahasa kebangsaan khususnya kandungan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 perlu dilihat semula dalam erti kata menyemai perpaduan kaum dan menzahirkan jati diri negara.

Asimilasi kepada watan tidak berlaku dalam negara kita berbanding negara-negara lain.

Setiap kaum masih lagi berada dalam kepompong kaumnya sendiri tanpa dapat direntasi batas perkauman kerana kekangan penguasaan bahasa kebangsaan.

Sudah sampai waktunya kita menjadikan bahasa kebangsaan sebagai satu wadah perpaduan kaum, simbol dan jati diri negara serta berbangga dengannya.

Saya percaya kes tersebut adalah babak permulaan kepada usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara. Ia bukan bersifat rasis atau terbit daripada perasaan benci.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)