CAC lahir usahawan industri kreatif

Wakil dari Syarikat Pemula KK Solutions bersama anugerah diterima.
Wakil dari Syarikat Pemula KK Solutions bersama anugerah diterima.
A
A
A

KOTA BHARU – Pewujudan Pusat Akselerator Kreatif atau Creative Accelerator Centre (CAC) di bawah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berjaya melahirkan pelbagai Syarikat Pemula Siswa (SPS) sebagai usahawan muda dalam sektor industri kreatif.

Walaupun masih baharu, CAC berjaya menghasilkan SPS yang kompeten dan produktif, malah kejayaan pencapaian ini dibuktikan menerusi Syarikat Creaspire Studio yang telah dilonjakkan sebagai syarikat berpotensi tinggi oleh MDEC pada tahun 2018.

Kejayaan cemerlang ini diteruskan lagi pada tahun 2019 oleh Syarikat Pemula KK Solutions dan Pengurus Sumber Manusia syarikat itu, Kiruban Aligesh telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa 2018/2019 manakala Pengarah Urusan KK Solutions menerima Anugerah Tokoh Usahawan UMK 2018/2019.

Dekan FTKW, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, CAC yang sebelum ini dikenali sebagai Unit Akselerator Kreatif (UNITI) telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada 12 Oktober 2016.

"CAC ditubuhkan dengan tujuan untuk menjadi peneraju kepada pembangunan SPS yang kompeten dan bersedia menerokai industri kreatif negara.

"Menerusi CAC juga, pelajar diberikan peluang dan ruang yang disediakan oleh pihak fakulti dan ia merupakan melalui satu langkah yang sangat bijak untuk menempatkan mereka sebagai ‘orang baru’ dalam industri kreatif negara.

"Dalam konteks yang lebih luas, SPS ini bukan sahaja bertindak untuk membangunkan syarikat mereka sendiri, tetapi dalam masa yang sama ia turut mencipta peluang pekerjaan kepada rakan sekuliah mereka dan pihak luar.

"Contohnya ialah dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan secara fizikal dan atas talian menerusi projek-projek yang mereka perolehi sama ada dari pihak fakulti, universiti, dan pihak luar termasuk menerusi platform antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukti bahawa penubuhan CAC selaras dengan hasrat UMK untuk menghasilkan usahawan graduan yang berupaya bukan sahaja merebut peluang tetapi mencipta peluang pekerjaan dalam pasaran kerja yang kian mencabar," katanya.