Nota duit belanja untuk isteri curi perhatian netizen wanita

Perkongsian di Facebook Dr Ahmad Zakimi yang mendapat perhatian netizen.
Perkongsian di Facebook Dr Ahmad Zakimi yang mendapat perhatian netizen.
A
A
A

SHAH ALAM - "Nanti Ita 'check' atas meja. Kot (kalau) ada apa-apa rezeki ya. Love you.”

Memetik Facebook Dr Ahmad Zakimi Abdullah, biasanya dia akan menghantar kata-kata itu kepada isterinya, Rohaita Baharuddin menerusi aplikasi WhatsApp sekiranya dia bersiap dahulu ke tempat kerja.

Katanya, jika sempat dia akan kongsikan sepotong ayat al-Quran atau hadis pada nota berserta duit belanja untuk isterinya itu.

Nota tertulis "Duit belanja hari ini RM100" dengan sepotong ayat al-Quran tertulis "Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin, kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu (surah Al-Israa' ayat 31)" tular di laman sosial.

Ahmad Zakimi berkata, adalah menjadi rutin hariannya memberi wang perbelanjaan buat keluarganya sejak mendirikan rumah tangga 18 tahun lalu.

"Ya, itu nafkah suami kepada keluarga. Itu tanggungjawab seorang suami selaku ketua keluarga.

"Sejak dari awal perkahwinan kami, aku mulakan dengan sedikit. Dari tahun ke tahun, gaji aku naik maka aku tambah sikit demi sedikit. Al-maklumlah, keluarga pun semakin besar. Belanja pun semakin tinggi," tulisnya.

Meskipun isterinya bekerja memiliki gaji sendiri, ia tidak pernah menjadi sebab untuk dirinya culas menghulurkan nafkah buat keluarga walaupun ada kalanya isterinya melarang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak ternilai dengan wang ringgit jika dibandingkan pengorbanan seorang isteri kepadanya dan keluarga.

"Walaupun kadang kala aku ‘kekeringan’, aku tetap berusaha untuk beri belanja kepada keluarga. Itu tanggungjawab suami dan bapa kepada anak-anak. Muka mesti buat tenang. Takut dia terperasan," katanya.

Kongsi Ahmad Zakimi lagi, dia berpegang kepada prinsip segala keperluan harian termasuk pendidikan anak adalah di bawah tanggungjawab suami dan amalan itu adalah yang disukai ALLAH SWT.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”. (Surah al-Nisa’ ayat 34)

"Membelanjakan harta untuk isteri dan keluarga bukan sekadar kewajipan malah ia satu amalan yang disukai ALLAH.

"Walaupun si isteri bekerja dan makan gaji, tak kiralah gaji si isteri lagi besar dari si suami, kewajipan itu harus diletakkan kepada ketua keluarga iaitu si suami. Semoga si suami seluruhnya dimurahkan rezeki. Amin," tulisnya.

Posting itu mendapat lebih 11,000 perkongsian dan dilihat rata-rata pengguna Facebook wanita 'tag' atau berkongsi kisah kepada suami masing-masing.

Antaranya, Are Fatieha menulis "semoga sentiasa dilimpahkan dan dimurahkan rezeki buat suami @abg Salihin Hj Arapah untuk kami sekeluarga Amin."