Tiada pengiring trafik tak halang usaha menangkan BN, kata Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika menyertai Program Walkabout Santai di Econsave Pekan Nanas di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika menyertai Program Walkabout Santai di Econsave Pekan Nanas di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Tindakan polis tidak lagi memberi perkhidmatan pengiring trafik bermotosikal kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan menghalangnya membantu memenangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Beliau yang juga Penasihat BN berkata, ramai pihak termasuk warganet menganggap keputusan itu berasaskan tujuan tertentu.

Lebih-lebih lagi beliau mengakui tindakan itu dibuat sewaktu kempen PRK Parlimen Tanjung Piai sedang berlangsung.

"(Mengenai perkhidmatan pengiring trafik bermotosikal ditarik balik) Saya tidak tahu secara mengejut surat tiba... dia (polis) tidak beri apa-apa alasan, apa sebab.

"Ramai anggap ini ada tujuan tertentu, tetapi saya akan teruskan usaha memenangkan BN... saya akan jalan macam biasa," katanya kepada media sewaktu mengadakan sesi walkabout santai bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas di pasaraya Econsave Pekan Nanas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ketiadaan lagi kemudahan perkhidmatan pengiring trafik bermotosikal kepada beliau sejak semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Khidmat polis pengiring trafik Najib ditarik balik: Isham Jalil

Sebelum ini, pegawai khas beliau, Isham Jalil menulis di laman Facebook bahawa perintah itu berkuat kuasa dengan serta-merta dan tiada sebab atau alasan yang diberikan oleh kerajaan.

"Saya telah dimaklumkan bahawa kerajaan PH (Pakatan Harapan) telah mengeluarkan notis 24 jam untuk membatalkan perkhidmatan polis pengiring trafik untuk Najib Razak...

“Sekiranya anda penyokong Najib, mohon berilah laluan kepada kenderaannya untuk memudahkan urusan dan perjalanan beliau dalam berkhidmat untuk rakyat dan berkempen untuk BN untuk menyemak-imbang kerajaan,” tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu menurut surat daripada ibu pejabat polis Bukit Aman kepada pegawai khas Najib, Mohd Shahrir Mohd Aripin dan disahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Bagaimanapun, Azisman sewaktu dihubungi media menjelaskan Najib masih boleh memohon penggunaan pengiring trafik bermotosikal untuk urusan rasmi.

"(Tetapi) bukan untuk urusan peribadi dan parti," katanya.

Pada Mei tahun lalu, anggota keselamatan Najib kebanyakan terdiri anggota polis ditarik balik.

Bekas Perdana Menteri lazimnya dibekalkan dengan perkhidmatan pengiring polis dan pengawal keselamatan.

Pada tahun 2016, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan pemimpin pembangkang merasai hak istimewa yang diberikan kepadanya ditarik balik.