Perkhidmatan atas talian mudahkan orang ramai bayar zakat

Mohd Sabirin menunjukkan kemudahan pembayaran zakat secara atas talian yang disediakan LZS bagi memudahkan pengguna membayar zakat.
A
A

SHAH ALAM - Pengeluar zakat kini boleh menjimatkan masa dan kos dengan menunaikan kewajipan berzakat secara atas talian yang mudah serta fleksibel.

Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pengguna boleh membuat semua urusan berkaitan zakat seperti taksiran, bayaran dan semakan penyata dengan hanya melayari laman sesawang www.zakatselangor.com.my.

Menurutnya, kemudahan itu telah lama disediakan, namun peratusan penggunaannya masih rendah kerana pengeluar zakat lebih selesa berurusan di kaunter dan menggunakan kaedah manual.

“Ada juga yang masih ragu-ragu sama ada sah atau tidak membuat pembaya-ran zakat atas talian.

“Hukum menunaikan zakat secara atas talian adalah harus dan sah kerana syarat sah menunaikan zakat adalah niat serta pindahan harta bagi tujuan zakat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, urusan zakat atas talian itu merangkumi semua aspek dengan pengguna boleh membuat taksi-ran melalui kiraan menggunakan kalkulator zakat yang disediakan di laman sesawang LZS, disusuli pautan ezakatpay untuk membuat pembayaran, seterusnya membuat semakan atau cetakan penyata di eZakat Online (eZO).

“Dalam tempoh tiga tahun sejak 2016, perkhidmatan pembayaran zakat secara atas talian menunjukkan peningkatan kutipan sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM50 juta kepada RM74 juta,” katanya.

Mohd Sabirin berkata, bagi menghargai dan sebagai inisiatif menggalakkan pengeluar zakat melakukan pembayaran zakat menggunakan kaedah secara atas talian, LZS menyediakan cenderahati kepada pengguna perkhidmatan tersebut bermula pada 1 November lalu hingga 31 Disember ini.

“Hanya perlu membuat pembayaran zakat dan kemudian menjawab dua soalan mudah. Pemenang akan dipilih melalui kaedah e-cabutan,” katanya.