Pesawat terhempas, juruterbang selamat

Keadaan pesawat ringan yang terhempas di kawasan Felcra Berhad Jejawi, Kampung Gajah pagi tadi.
Keadaan pesawat ringan yang terhempas di kawasan Felcra Berhad Jejawi, Kampung Gajah pagi tadi.
A
A
A

PASIR SALAK - Seorang juruterbang terselamat selepas pesawat ringan dipandu terhempas di kawasan Felcra Berhad Jejawi berhampiran Balai Polis Jejawi, Kampung Gajah di sini hari ini.

Kejadian sekitar jam 10.25 pagi itu berlaku ketika pesawat ringan jenis Gyrocopter terbabit digunakan bagi operasi menyembur racun serangga di kawasan sawah padi peringkat 8 dan 9 Seberang Perak.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, juruterbang pesawat berusia 29 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pesawat tanpa penumpang itu hanya mengisi muatan racun serangga bagi tujuan semburan di sawah padi.

"Bagaimanapun ketika dalam penugasan, pesawat terbabit jatuh terhempas. Setakat ini punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan namun kemungkinan besar disebabkan masalah teknikal," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 11.15 pagi dari Balai Polis Jejawi.

Katanya, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah dimaklumkan akan kejadian itu.

"Lokasi kejadian kini telah dikawal oleh anggota Balai Polis Jejawi," katanya.

Artikel Berkaitan: