Minuman keras bernilai lebih RM2 juta dirampas

Tiga anggota PPMW2 menunjukkan minuman keras yang dirampas dalam operasi berkenaan.
Tiga anggota PPMW2 menunjukkan minuman keras yang dirampas dalam operasi berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Minuman keras dipercayai tidak mempunyai kelulusan Kastam bernilai lebih RM2 juta dirampas dalam satu operasi yang dijalankan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) kelmarin.

Pemangku Komander PPMW2, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, kesemua barangan tidak bercukai itu ditemui dalam sebuah lori tiga tan yang ditahan di Taman Perindustrian, Kota Puteri kira-kira jam 12.25 tengah hari.

Menurutnya, operasi berkenaan juga merupakan hasil daripada maklumat risikan dan intipan yang telah dibuat sejak beberapa hari lalu.

“Dalam serbuan diketuai seorang pegawai dan lima anggota dari PPMW2 selain dibantu empat anggota dari bahagian operasi Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam ini, kita telah berjaya menahan sebuah lori di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dibuat pasukan serbuan kemudiannya telah menemui 256 kotak besar yang mengandungi minuman keras dipercayai tidak lulus Kastam.

“Rampasan minuman keras bersama kenderaan ini dianggarkan bernilai kira-kira RM2.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Azman berkata, dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang juga pemandu kenderaan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penguatkuasaan berhubung kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai akan terus dipergiatkan bagi memastikan hasil negara tidak dirompak dengan cara sedemikian.

Sehubungan itu, pihaknya juga memohon orang ramai untuk terus membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah.