X

Kindly register in order to view this article
!

Kes persetubuhan luar tabii: Hormati keputusan mahkamah

Laporan Sinar Harian berkaitan kes itu kelmarin.
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu menghormati keputusan hakim Mahkamah Tinggi Syarie Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara serta sebatan terhadap lima lelaki kerana cuba persetubuhan luar tabii November tahun lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, keputusan itu wajar dihormati kerana ia hanya melibatkan urusan mereka yang beragama Islam sahaja.

"Saya secara peribadinya menyokong dan mengalu-alukan ketegasan hakim mahkamah yang menjatuhkan hukuman tersebut ke atas mereka yang terbabit.

"Malaysia menolak amalan lesbian, gay, biseksual, trangender dan pelik (LGBT) yang jelas bertentangan dengan norma fitrah manusia tanpa mengira kaum, agama dan status sosial.

"Saya juga menyeru masyarakat Islam di negara ini agar kembali menghayati kisah Nabi Luth AS dalam al-Quran berkenaan kemurkaan ALLAH terhadap amalan songsang ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima lelaki cuba melakukan persetubuhan luar tabii dijel, sebat

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu kembali kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan termasuk Kesopanan dan Kesusilaan.

"Amalan LGBTQ yang mempunyai kaitan secara langsung dengan perbuatan homoseksual wajar dibendung serta diperangi kerana ia bagaikan barah yang merebak dalam masyarakat seiringan dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.

"Homoseksual mampu menjahanamkan kehidupan berumah tangga (suami isteri) serta peranan pembentukan keluarga normal dalam masyarakat.

"Human immunodeficiency virus' (HIV) yang menyebabkan penyakit berjangkit 'acquired immunodeficiency syndrome' (AIDS) juga mula dikesan pada tahun 1981 di kalangan pengamal homoseksual (gay) di Amerika Syarikat," ujarnya.

Sinar Harian 7 November menyiarkan lima lelaki dijatuhi hukuman penjara, sebatan dan denda di Mahkamah Tinggi Syarie Shah Alam kerana cuba melakukan persetubuhan luar tabii November tahun lalu.

Hakim Syarie Mohd Asri Tahir menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan, denda RM4,900 dan enam kali sebatan terhadap seorang lelaki berusia 42 tahun selepas mengaku bersalah cuba melakukan hubungan sejenis tahun lalu.

Empat lagi lelaki berusia antara 27 hingga 37 tahun dijatuhi hukuman enam bulan penjara, denda RM4,800 dan enam kali sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Tertuduh masing-masing turut berdepan hukuman penjara antara empat dan tiga bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.