Mengidam nasi lemak, Mat Saleh sanggup 'terbang' dari Athens ke KL

Darren menikmati nasi lemak sejurus tiba di Kuala Lumpur.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang selebriti Youtube berbangsa Inggeris yang mengidam nasi lemak sanggup 'terbang' sejauh 9,600km ke Kuala Lumpur untuk menikmati keenakan makanan tradisional Melayu itu.

Meskipun terpaksa melalui tempoh perjalanan selama 11 jam, Darren Cronian, 45, sanggup mengharungi penerbangan dari Athens demi merasai nasi lemak selepas melihat gambar makanan itu di Instagram.

Video durasi 12minit 23saat itu dimuat naik di YouTube memaparkan perjalanan Darren dari Athens ke Singapura sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia pernah cuba mencari restoran yang menjual nasi lemak di sekitar Greece namun tiada satu kedai pun yang menjual makanan Malaysia.

Tanpa berfikir panjang, dia kemudian terus membeli tiket penerbangan ke Malaysia.

Dia sanggup membatalkan niatnya untuk menghabiskan musim sejuk di Greece demi nasi lemak.

Katanya, minat terhadap hidangan nasi lemak sejak lima tahun lalu ketika kali pertama melawat Malaysia.

"Setibanya di Malaysia, saya terus mendapatkan nasi lemak lauk ayam goreng. Itulah makanan pertama saya dan saya mampu habiskan makanan itu seorang diri.

"Saya juga cuba menggunakan tangan bila melihat rakyat negara ini makan tanpa sudu, garfu. Ia satu kelainan dan keunikan yang ada di sini," katanya kepada Malay Mail.

Selain terpesona kehebatan nasi lemak, Darren juga cuba pelbagai juadah antaranya mi goreng mamak, mi kolok dan beberapa hidangan kaum India di Little India, Brickfields.

Menerusi entri di Twitter miliknya, Darren juga menyatakan dia kini berada di Kuala Lumpur untuk mencari lokasi makanan yang terbaik.

"Saya perlukan bantuan untuk video seterusnya. Saya mencari lokasi makanan jalanan terbaik di Kuala Lumpur yang dibuka siang dan malam," katanya.