Semarakkan lagi semangat membaca

A
A

APABILA Menteri Pendidikan memberi penekanan terhadap kepentingan membaca, ramai yang begitu sinis dengan idea tersebut kerana beranggapan terlalu kecil untuk dicanangkan oleh seseorang yang bergelar menteri.

Maklumlah, ramai dalam kalangan masyarakat kita hari ini yang masih menganggap aktiviti membaca hanyalah sebahagian daripada minat individu sahaja.

Ini bermakna, aktiviti membaca hanyalah setaraf dengan minat menonton televisyen, mendengar muzik, bermain ‘video games’ dan sebagainya.

Apabila bertaraf minat, maka tidak salahlah jika kita tidak minat membaca dan memberi fokus kepada minat yang lain pula.

Malah, apabila dikaitkan minat kepada buku akan mendorong seseorang itu menjadi ‘nerd personality’ iaitu sikap kurang bersosial, maka minat untuk membaca semakin jauh ditinggalkan.

Berbalik kepada gagasan menteri tadi, mengapa elemen membaca ini sangat penting dititik beratkan?. Menurut World Culture Score Index pada tahun 2017 didapati penduduk Malaysia hanya memperuntukkan waktu membaca kurang dari 5 jam seminggu.

Data tersebut juga menunjukkan India menduduki tempat pertama kerana penduduknya membaca lebih dari 10 jam seminggu, diikuti Thailand lebih 9 jam seminggu; China, lapan jam seminggu dan Filipina, lebih 7 jam seminggu.

Justeru, bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing maka Kementerian Pendidikan berhasrat pada tahun 2019 jumlah waktu membaca rakyat Malaysia dapat dilonjakkan lebih dari 10 jam seminggu.

Walaupun hasrat tersebut mungkin sukar, namun itulah pilihan yang ada untuk memartabatkan ilmu dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia pada tahun 2014 oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati rakyat Malaysia membaca hanya 15 buku setahun. Menerusi kajian sama, didapati bahan bacaan pilihan rakyat Malaysia adalah; Majalah (62.8%); akhbar (61.2%); buku ilmiah (54.8%); novel dan fiksyen (47%) bahan dalam talian (46.4%); buku bukan fiksyen (29.9%) komik (25.3%) dan jurnal (19.9%).

Ini bermakna, ramai rakyat Malaysia lebih suka memilih bahan bacaan yang ringan berbanding berat serta ilmiah.

Berpandukan kepada dapatan kajian tadi, wajarlah perkara ini perlu ditangani secara serius kerana lama-kelamaan peradaban dan ketamadunan negara boleh runtuh kerana jambatan ilmu sudah tidak kukuh lagi.

Sebetulnya, semangat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia hari ini, semakin hari semakin pudar.

Apabila tidak bersemangat, sudah tentu kita kurang keinginan tinggi untuk melakukan sesuatu tanpa penat dan putus asa terutamanya dalam pencarian ilmu. Hal ini bercanggah dengan perintah ALLAH dengan firmannya;

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk); Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinnya.” (QS Al-Alaq 96:1-5).

Memandangkan ilmu ini luas dan banyak lagi perkara yang kita tidak ketahui dan belum terokai maka kita perlu sentiasa bersemangat untuk dapatkan ilmu tersebut.

Sebetulnya, aktiviti membaca ini mempunyai banyak kelebihan, antaranya; mengurangkan risiko penyakit alzheimer, dapat menguatkan ingatan, menjadi lebih kreatif dan kritis serta lebih terbuka dengan pandangan baharu. Namun jika kita hanya membaca untuk lulus peperiksaan dan secara santai menerusi bahan-bahan bacaan ringan tentunya kita tidak akan mencapai kelebihan dan manfaat membaca yang sepatutnya.

Mengapa demikian?. Setiap ilmu tiada keberkatannya jika kita tidak ikhlas mencarinya.

Menurut Ibn Khaldun dalam bukunya Mukadimah, ada menjelaskan bahawa setiap ilmu yang dicari dengan tekun dan bersungguh akan membantu akal membayangkan tindakan yang wajar untuk diputuskan oleh hati bagi setiap tindakan yang akan diambil. Ini bermakna, membaca dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh membantu mewaraskan akal, mententeramkan hati dan memperbetulkan tindakan kita.

Justeru, apa tindakan kita?. Sebetulnya usaha ini tidak akan berjaya jika kita tidak bertindak secara bersepadu. Jika hanya mahu mengharapkan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi sahaja sudah tentu tidak mencukupi. Usaha ini harus dijadikan budaya oleh seluruh masyarakat.

Pihak kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan perlu promosikan budaya ini. Malah ahli keluarga seharusnya menyokong penuh usaha ini kerana agen perubahan masyarakat ada ‘di dalam rumah mereka’.

Sudut bacaan yang percuma perlu diperbanyakkan lagi di semua lapangan terbang dan stesen-stesen perkhidmatan awam.

Kempen membaca harus digiatkan biar sampai lecak jalan-jalan kampung dan pedalaman. Kita perlu merekrut lebih ramai sukarelawan dalam kalangan anak-anak muda kerana mereka lebih bertenaga dan kaya idea.

Balutilah negara kita dengan ilmu agar rakyat lebih bermaruah.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.