Tanpa perpaduan, negara terdedah pelbagai ancaman: Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

BUKIT JALIL - [DIKEMASKINI] Tanpa perpaduan, negara akan terdedah dengan pelbagai ancaman yang pasti akan mengakibatkan kedaulatan dan ketenteraman negara terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, perpaduan di Malaysia perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

“Kita perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu menuju ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ (negara yang baik dan diampuni Tuhan),” katanya.

Menurutnya, ummah seharusnya mencari titik persamaan supaya Malaysia menjadi sebuah negara Islam contoh yang menjunjung erti kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyatnya.

“Semoga dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim, Malaysia dapat menjadi model negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara Islam dan negara bukan Islam sedunia.

“Seterusnya dapat mempengaruhi dunia sepenuhnya untuk berubah kepada dunia baru yang rahmah, saling menyantuni setiap penjurunya dengan santunan kemanusiaan, ihsan dan peradaban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 di sini pagi tadi yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Raja Permaisuri, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Mujahid berkata, model itulah yang dinamakan sebagai model Malaysia yang menjadikan negara sebagai sebuah negara rahmah, kaya dengan prinsip kehidupan bermasyarakat.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, masyarakat seharusnya merangka pendekatan bagaimana kerahmatan Islam itu dapat dijelmakan dalam membina dan membentuk sebuah negara Rahmah.

“Prinsip Maqasid Syariah yang memberi penekanan dalam aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu dipraktikkan dan dijadikan sebagai cara kita berfikir demi memelihara dan mempertahankan kesejahteraan ummah sejagat.

“Model negara Madinah hendaklah dijadikan contoh di mana penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, serta keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam ketika itu telah menatijahkan sebuah negara yang kuat, aman dan harmoni serta bersatu padu dalam kepelbagaian kaum dan agama,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian dan perbezaan manusia tidak sewajarnya membawa kepada perpecahan.

“Malah ia satu sunatullah untuk kebaikan manusia sejagat serta satu pengiktirafan ke atas maruah dan martabat semua manusia.

"Bukanlah alasan untuk kita menghina dan menceroboh pihak lain malah sewajarnya kita mencari pendekatan terbaik bagi mengurus perbezaan,” katanya.