Rasis yang disalah tafsir

Mohammad Shatar Sabran
Mohammad Shatar Sabran
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini istilah rasis menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Istilah itu menjadi semakin kencang dibicarakan oleh masyarakat terutamanya isu yang berkaitan dengan bangsa Melayu, Cina dan India.

Keadaan menjadi lebih runcing apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat yang cuba mengeruhkan lagi keadaan dengan melemparkan pelbagai isu perkauman dalam kalangan masyarakat.

Rasis mengikut tafsiran umum ialah persepsi dan tindakan yang menidakkan hak bangsa atau kumpulan lain untuk mendapatkan perkhidmatan, peluang atau layanan disebabkan mereka tidak sealiran dengan kumpulan yang memberi sama ada dalam aspek keturunan, bangsa, agama dan budaya.

Istilah lain yang memberi impak yang sama dengan rasis ialah diskriminasi. Oleh yang demikian, istilah rasis perlu difahami dengan sepenuhnya sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Kefahaman itu teramat penting kerana kenyataan atau tindakan yang salah mengenai rasis boleh mengakibatkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku seperti pergaduhan, pembunuhan dan peperangan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu difahami mengenai rasis.

Budaya dan amalan membantu sesama bangsa dan agama merupakan suatu amalan baik dan dituntut terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Amalan itu, dalam kalangan masyarakat Melayu begitu kukuh dan popular terutama semasa negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Bagaimanapun, budaya itu mulai pudar sejak akhir-akhir ini.

Artikel Berkaitan:

Menyedari kepentingan amalan tersebut, masyarakat Melayu telah mula menghidupkan kembali budaya dan amalan yang sudah mulai pudar dalam masyarakat Melayu.

Salah satu amalan tersebut ialah memperkenalkan inisiatif mengutamakan produk Islam atau Buy Muslim First (BMF). Melalui inisiatif itu, kaum Melayu akan mengutamakan produk Islam daripada produk lain di negara ini dalam aktiviti seharian mereka.

Perlu dijelaskan inisiatif BMF tiada kaitan dengan amalan rasis. Amalan BMF merupakan inisiatif dalam kalangan masyarakat Islam dan Melayu di negara ini untuk membantu masyarakat Islam dan Melayu dalam perniagaan masing-masing.

Inisiatif BMF dipercayai mampu melonjakkan lagi prestasi perniagaan dalam kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini. Amalan seperti itu sebenarnya telah lama dilaksanakan di beberapa buah negara lain seperti Korea yang sentiasa meletakkan produk tempatan terlebih dahulu sebelum membeli produk daripada negara-negara lain.

Amalan yang dilakukan oleh masyarakat Korea itu bukanlah bermaksud mereka masyarakat yang rasis. Ia disebabkan amalan tersebut menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Korea membantu rakan-rakan yang lain untuk berjaya dalam perniagaan atau aktiviti masing-masing.

Oleh yang sedemikian, menjadi satu kesalahan kepada masyarakat di Malaysia yang melabelkan kempen BMF sebagai amalan rasis.

Berdasarkan senario yang sama, kempen BMF ialah inisiatif dilaksanakan oleh masyarakat Islam dan Melayu untuk membantu orang Melayu dan Islam maju dan cemerlang dalam perniagaan dan aktiviti masing-masing di negara ini.

Kempen BMF juga tidak boleh diklasifikasikan sebagai rasis kerana inisiatif itu memberikan jaminan dan kepastian kepada masyarakat Melayu dan Islam untuk mendapatkan makanan dan produk yang halal dan bersih. Status halal dan bersih adalah perkara penting untuk menjadi pilihan dalam agama Islam.

Justeru, kempen BMF adalah selari dengan agenda tersebut kerana semua produk yang dikeluarkan masyarakat Melayu dan Islam adalah terjamin status halal dan kebersihannya.

Adalah tidak wajar sekiranya ada dalam kalangan masyarakat di negara ini menghalang usaha mulia itu dan menganggapnya sebagai satu tindakan rasis kerana apa yang dilakukan oleh mereka selari dengan tuntutan agama Islam.

BMF merupakan suatu inisiatif yang dilaksanakan masyarakat Islam dan Melayu di Malaysia untuk memastikan segala produk yang digunakan oleh mereka adalah halal, bersih dan selari dengan kehendak agama Islam.

Tindakan masyarakat Melayu dan Islam memberi sokongan padu kepada usaha itu bukanlah bermaksud Islam dan Melayu di Malaysia bersifat rasis.

Bahkan, amalan seperti itu disokong Civilization Theory yang menyatakan tidak ada bangsa dan agama lain yang akan membantu kecuali bangsa dan agama itu sendiri.

* Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan pakar sosial