Mandat OIC perlu dikaji semula

Ahmad Azam
Ahmad Azam
A
A
A

ISTANBUL - Selepas lebih 50 tahun ditubuhkan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu menilai diri kerana dunia Islam memerlukan kepimpinan yang komited.

Menurut Pesuruhjaya OIC, Ahmad Azam Ab Rahman, dunia Islam telah mengabaikan kepimpinan seperti itu sejak kejatuhan Empayar Uthmaniyyah namun inisiatif yang diumumkan antara Turki, Malaysia dan Pakistan baru-baru ini seakan memberi harapan ke arah jalan itu.

"Umat Islam umpama badan tanpa kepala. Mereka menghadapi banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana tiada pimpinan," jelasnya merujuk kepada isu Palestin, Kashmir, Moros, Patani, Rohingya dan Uighurs.

Katanya lagi, persoalan mengenai hak asasi manusia di rantau ini adalah pelanggaran yang jelas tanpa keraguan.

"Bagaimanapun, umat Islam masih tidak bersatu dalam isu hak asasi manusia. Sudah tiba masanya kita perlu melihat kembali peranan OIC.

"Jika dilihat secara politik dengan usia OIC 50 tahun, nampaknya ia sangat lemah," katanya.

Ahmad Azam bagaimanapun percaya bahawa pertubuhan Islam multilateral tidak boleh dihakimi dari segi politik.

"Selain daripada politik, saya rasa ia tidak diberikan kredit sewajarnya seperti dalam pendidikan, kebudayaan dan projek halal," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Lebih banyak perlu sertai perpaduan trilateral

Menurut Ahmad Azam, pemimpin Turki, Malaysia dan Pakistan berpotensi untuk memimpin dunia Islam dan kerjasama mereka dapat mengubah nasib sebahagian dunia ini.

"Kini Malaysia dan Pakistan sanggup bekerjasama dengan Turki mengenai isu memerangi Islamofobia. Ia adalah cara tepat untuk maju ke hadapan.

"Kita perlu beri sokongan dan berharap akan menggalakkan lebih banyak kerjasama, penyelesaian dan komitmen dari negara OIC lain," katanya.

OIC adalah badan multilateral yang terdiri daripada 57 negara majoriti Islam dan organisasi antara kerajaan kedua terbesar di dunia selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ahmad Azam berkata, dia melihat kepimpinan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah memberi inspirasi kepada negara Islam untuk bersatu.

"Beliau telah menyediakan kepimpinan kepada umat Islam yang memberi ilham dalam dunia Islam dan melihat Turki sebagai jawapan kepada 50 tahun OIC," jelasnya.

Ahmad Azam turut berpendapat Turki, Malaysia dan Pakistan boleh memberi alternatif sebenar untuk kebangkitan umat Islam.

Ahmad Azam adalah aktivis Islam dari Malaysia dan terpilih sebagai salah seorang Pesuruhjaya untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bebas (IPHRC) OIC pada awal tahun ini. - Agensi