PRK Tanjung Piai: Peluang terbaik pemimpin perjelas keadaan sebenar

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir Majlis Perhimpunan Bersama Anggota Polis di Balai Polis Pekan Nanas hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir Majlis Perhimpunan Bersama Anggota Polis di Balai Polis Pekan Nanas hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN, - Barisan pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai peluang baik untuk menjelaskan keadaan semasa kerajaan kepada pengundi serta menjadikan mereka lebih bermaklumat dengan realiti.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi memastikan rakyat akan dimaklumkan tentang status pembaharuan yang dijanjikan oleh kerajaan PH semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, adalah penting untuk bersemuka dengan pengundi Tanjung Piai dan menjelaskan tentang realiti yang mereka hadapi tanpa berselindung atau menyembunyikan sesuatu perkara.

“Dengan berbuat demikian, (mungkin) mereka faham dan rakyat lebih bertimbang rasa serta fikir bahawa kerajaan PH tidak gagal dalam menunaikan kewajipan untuk membangun dan mentadbir negara,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri,​​​ berkata demikian selepas majlis minum petang bersama anggota polis di Balai Polis Pekan Nanas, Pontian hari ini.

Muhyiddin berkata, rakyat perlu menilai PH dalam perspektif yang betul dengan mendapatkan maklumat kerana kerajaan PH telah melaksanakan banyak proses pembaharuan.

Beliau berkata bukan mudah untuk mana-mana parti mengambil alih sistem pentadbiran kerajaan yang sudah rosak akibat salah laku pemimpin dan gejala rasuah dengan contoh klasik skandal mega 1Malaysia Development Board (1MDB).

“Berdasarkan jumlah hutang negara yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu, saya tidak dapat bayangkan dengan dibebani dengan masalah ini. Bahkan jika kita ada pakar untuk menyelesaikannya, saya tidak fikir dalam tempoh satu tahun, kita dapat menyelesaikannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin juga menyentuh beberapa langkah pembaharuan yang telah dilaksanakan termasuk Pelan Antirasuah Nasional bagi membanteras gejala rasuah serta mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta dan pendapatan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kempen PRK Parlimen Tanjung Piai bermula pada 2 November lalu selepas penamaan calon dan hari pengundian awal ditetapkan pada 12 November dan hari pengundian pada 16 November ini.

PRK itu menyaksikan saingan enam penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas. - Bernama