MB Perak nafi ada masalah dengan DAP

Ahmad Faizal - Foto fail
Ahmad Faizal - Foto fail
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau bermasalah dengan DAP di Perak.

Beliau yang bercakap kepada portal berita Free Malaysia Today berkata, kenyataannya di dalam video yang tular hari ini dipetik di luar konteks.

Katanya, video itu hanya memetik sebahagian kata-katanya dan bukan keseluruhan perbualan.

"Saya mengatakan bahawa banyak perkara yang dilalui di Perak dan terdapat cubaan daripada pemimpin DAP yang mahu menjatuhkan saya. Tapi apa yang penting adalah kami bekerja rapat bersama-sama," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal kesal kerana beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab hanya memetik sebahagian kecil daripada perbualan itu sekali gus memberi gambaran yang tidak tepat.

ARTIKEL BERKAITAN: Klip video MB Perak cetus tanda tanya

'Kenyataan MB Perak mengenai DAP sekadar pandangan peribadi'

Terdahulu melalui video berkenaan Ahmad Faizal mendedahkan beliau terpaksa berlawan dengan DAP di Perak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, usaha yang dilakukan untuk mempertahankan tanah masyarakat Melayu dan agama Islam dilakukan berseorangan dengan bantuan rakan-rakan dalam UMNO.

"Macam saya di Perak, saya seorang-seorang terkontang-kanting nak berlawan dengan DAP ini. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu, saya nak perjuangkan agama kita, saya buat itu pelan-pelan (perlahan-lahan) tapi Alhamdulillah kawan-kawan UMNO kat sana tak adalah marah-marah saya macam ini.

"Tapi itulah sembang dengan kawan-kawan UMNO, nasib baik kau Peja, orang kampung panggil saya Peja, kalau kena kat orang lain.. Tak payah sebut namalah. Dia janji nak jadi yang amat berhormat (Menteri Besar Perak)," katanya dalam rakaman video berdurasi 6.26 minit yang tular pagi ini.

Dalam rakaman itu juga, Ahmad Faizal turut mengakui membantu rakan-rakan dalam UMNO.