Melaka lancar aplikasi Respons Rakyat kumpul aduan awam

Adly (dua dari kanan) diiringi Hasim (kiri) mendengar penerangan mengenai aplikasi pintar Respons Rakyat Melaka di Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling hari ini.
Adly (dua dari kanan) diiringi Hasim (kiri) mendengar penerangan mengenai aplikasi pintar Respons Rakyat Melaka di Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka melancarkan aplikasi pintar 'Respons Rakyat Melaka’ bagi memudahkan aduan rakyat disalurkan, diurus dan diselesaikan dengan segera.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, kemudahan aplikasi telefon pintar yang menghubungkan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) menunjukkan Melaka berada di landasan betul dalam mencipta medium mudah di antara kerajaan dengan rakyat.

Menurutnya, beliau yakin aplikasi itu dapat dimanfaatkan rakyat negeri itu memandangkan ia dibangunkan dengan aplikasi mesra pengguna yang turut memiliki ciri tambahan seperti isu aduan, lokasi, memuat naik video dan gambar untuk memudahkan pengurusan aduan dibuat dalam tempoh kira-kira 15 hari.

"Walaupun kita sedia maklum tidak semua rakyat menggunakan telefon pintar tetapi kita yakin bahawa kaedah itu dapat digunakan seluruh rakyat sama ada melalui ahli keluarga, saudara-mara atau jiran tetangga.

"Jadi kita harapkan semua dapat memanfaatkan aplikasi pintar ini supaya aduan-aduan dapat direkodkan dan paling penting diselesaikan selain rakyat juga boleh mengetahui status aduan-aduan itu," katanya.

Adly berkata demikian selepas menghadiri Hari Bertemu Rakyat Perdana Siri Empat 2019 dan menyempurnakan aplikasi pintar Respons Rakyat Melaka di Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Adly berkata, langkah itu juga sebagai usaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat sekali gus melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka mengambil alih pentadbiran, program Hari Bertemu Rakyat dijadikan program penting dan telah menerima sebanyak 3,810 aduan mulai 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

"Daripada jumlah itu sebanyak 2,644 aduan atau 69.40 peratus telah berjaya diselesaikan manakala baki 30.60 peratus daripada aduan masih dalam tindakan agensi berkaitan.

"Walaupun telah ada aplikasi aduan tapi Hari Bertemu Rakyat masih diteruskan kerana ia menjadi interaksi secara langsung kerajaan negeri dan rakyat sekali gus sebagai medium penghubung bagi permasalahan kira-kira 900,000 penduduk Melaka serta 1.5 juta pelancong di negeri ini," katanya.