IrisA Cosmetics tampilkan gincu rona berani, menyerlah

Iman (lima dari kiri), Irisa (lima dari kanan) dan ibu mereka yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Serasi Global Sdn Bhd, Intan Halim (empat dari kanan) bersama Nourul (dua dari kiri) serta tetamu jemputan yang menghadiri sambutan ulang tahun pertama IrisA Cosmetics di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Iman (lima dari kiri), Irisa (lima dari kanan) dan ibu mereka yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Serasi Global Sdn Bhd, Intan Halim (empat dari kanan) bersama Nourul (dua dari kiri) serta tetamu jemputan yang menghadiri sambutan ulang tahun pertama IrisA Cosmetics di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

SEMPENA ulang tahun pertamanya, IrisA Cosmetics memperkenalkan Matte Lip Collection yang menawarkan lima pewarna bibir terkini.

Jenama diasaskan oleh dua beradik, Iman, 18 dan Irisa, 16, itu menawarkan lima pigmen rona yang mampu memberikan kelembapan selama 24 jam menerusi produk keempatnya.

Matte Lip Collection terdiri daripada pilihan dasar warna berani dan menyerlah iaitu merah cili, merah bandung serta koral.

Iman berkata, diformulasi dari Itali, kandungan tekstur gincu bibir IrisA Cosmetics serasi dengan kulit bibir dan mengandungi bahan-bahan semula jadi seperti cocoa butter serta minyak bungaan yang memberikan kesan kelembapan serta matte di bibir.

"Variasi gincu bibir terbaharu ini diabadikan di dalam bekas pewarna bibir yang lebih praktikal dan glam chic.

"Kami menggunakan nama-nama filem Hollywood terkenal seperti Mean Girls, Bring It On, Legally Blonde, Hairspray dan Clueless," katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun pertama IrisA Cosmetics di Fahrenheit 88 di sini baru-baru ini.

Sambutan dimeriahkan tutorial solekan menggunakan lima gincu rona terbaharu IrisA Cosmetics oleh jurusolek profesional, Nad Ismail atau lebih dikenali sebagai @NVDISM selain penampilan penyanyi Nourul Depp, pelawak terkenal, Viviana Abdullah dan bintang-bintang sosial media iaitu Myra Muzaffar, Erysha, Rafidah serta Nigeena.

Iman berkata, lima variasi pewarna bibir IrisA Cosmetics diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dijamin halal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Irisa berkata, beliau dan Iman mahu menyemarakkan revolusi dalam kalangan generasi muda untuk lebih berkeyakinan dan sentiasa percaya dengan kecantikan tanpa menjejaskan kualiti, etika dan nilai kehidupan sebenar.

“IrisA adalah glamor, berkuasa, berani, berdaya saing, berkeyakinan dan sentiasa meraikan silaturahim, cinta dan kehidupan,” katanya.

Iman dan Irisa meneruskan legasi perniagaan milik ibu bapa mereka menerusi Serasi Global Sdn Bhd yang cukup dikenali dengan produk penjagaan kulit wajah daripada bahan semulajadi dan organik, Serasi Handmade.

IrisA Cosmetics dilancarkan pada Oktober 2018 dan membawa misi untuk memperkembangkan formulasi produk kecantikan berasaskan bahan-bahan semulajadi dan daripada tumbuh tumbuhan, bebas paraben dan tidak diuji pada haiwan.

Di awal kemunculan, jenama itu menampilkan lima pewarna bibir Flux Matte LipCream, diikuti pembayang mata Pressed Powder Eye Shadow dan Pressed Powder Highlighter.

Kesemua produk IrisA Cosmetics boleh didapati pada harga mampu milik iaitu bermula dari RM33 sehingga RM188 di laman sesawang www.irisacosmetics.com dan Playup Advance Berjaya Times Square, Fahrenheit 88 serta Paradigm Mall, Johor Bahru.

Pelanggan juga boleh membeli produk IrisA Cosmetics di MPlus Pharmacy, Bangsar Village 1 dan mySMINK Plaza Damas.