Saya sendiri minta siasat segera, kata Fuziah

FUZIAH
FUZIAH
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan masih menanti maklum balas dan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung sebuah tahfiz tidak berdaftar yang beroperasi di Lanchang, Pahang di mana seorang pelajarnya maut semalam.

Memetik laporan FMT, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, beliau sendiri meminta siasatan segera dijalankan.

“Saya belum mendapat maklum balas daripada Jaip berkenaan siasatan. Mereka perlu buat siasatan dulu dan laporkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahfiz mati dipercayai dipukul

Semalam seorang pelajar berusia tujuh tahun dari sebuah tahfiz tidak berdaftar di Lanchang dilaporkan meninggal dunia dengan kesan lebam pada tubuhnya dan tiga pelajar lain berusia 13 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Fauziah, mengikut Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 negeri itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mempunyai kuasa ke atas sekolah agama Islam bukan milik kerajaan termasuk menutupnya.

“Memang Muip ada kuasa untuk ambil tindakan ke atas sekolah-sekolah tidak berdaftar dan sekiranya didapati tidak menepati syarat-syarat ditetapkan majlis antaranya boleh menutup tahfiz itu.

“Cuma siasatan perlu dibuat sebab kita tak boleh ambil tindakan tanpa siasatan. Macam kes di Wilayah Persekutuan baru-baru ini, tak boleh ambil tindakan sebab Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) baru dipinda belum diwarta,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih teliti dan memastikan tahfiz dipilih itu berdaftar.
Artikel Berkaitan:


“Kita tak boleh sekat orang yang nak membuka tahfiz ini tapi jika langgar peraturan, kita boleh tutup. Kena adil, kita tak boleh bersangka buruk, ada yang berniat baik tapi ibu bapa dan orang ramai harus jadi mata dan telinga.

“Maksudnya kita tidak harus menghantar anak ke sekolah yang tidak berdaftar sebab bila tak berdaftar dan undang-undang negeri tersebut tidak melindungi akan timbul masalah,” katanya.