X

Kindly register in order to view this article
!

Panorama Sungai Sarawak motif pilihan Tom

SEBAHAGIAN koleksi fesyen konsep moden dan kontemporari berasaskan tekstil Sabah dan Sarawak yang diperagakan pada Malam Gala Tekstil Kraf Borneo di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
A
A

DATUK TOM ABANG SAUFI. Pereka fesyen kelahiran Kuching, Sarawak yang sentiasa memartabatkan rekaan berlatarkan keunikan Bumi Kenyalang.

Selain mengekalkan signatur busana tanpa zip dan butang, Tom Abang Saufi juga tegar bermain dengan elemen kombinasi tradisional dan moden kontemporari terutamanya batik Borneo.

Bicara pereka fesyen berusia 64 tahun itu, acap kali pulang ke kampung halaman beliau akan menempah tempat duduk bersebelahan jendela di dalam pesawat. Misi beliau adalah untuk mengamati pemandangan sungai di negeri tersebut dari udara.

Tabiat tersebut bukan suka-suka, sebaliknya mencari inspirasi motif dan rekaan ideal untuk diterapkan pada koleksi fesyen baharu beliau. Mungkin kedengarannya sedikit janggal apabila sungai diangkat sebagai subjek utama, tetapi tidak bagi label Tom Abang Saufi.

Beliau yang telah bertapak hampir empat dekad dalam industri fesyen tempatan menyifatkan keindahan alam semula jadi di Bumi Kenyalang tidak pernah menghampakan.

"Panorama istimewa yang 'dihidangkan' di sekitar sungai-sungai di Sarawak, saya lakar dan terjemahkan dalam karya busana wanita yang tidak akan ditelan zaman.

"Lagipun, tema (sungai) ini menjadi pilihan kerana matlamat utama saya adalah untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pencinta fesyen kepentingan menjaga kelestarian sungai khususnya di (Sarawak) sini," katanya ketika ditemui Femina secara eksklusif pada pertunjukan fesyen Malam Gala Tekstil Kraf Borneo yang berlangsung di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

TOM
TOM

Pada acara tersebut, Tom menampilkan koleksi fesyen sedia pakai bertemakan River yang diilhamkan dari Sungai Sarawak.

Tutur Tom, pemandangan sungai sentiasa mengamit memori manisnya pada zaman kanak-kanak. Setiap kali beriadah di pantai, beliau bersama keluarga perlu menaiki bot dan menyusuri Sungai Sarawak terlebih dahulu. Biarpun perjalanan itu mengambil masa yang lama, ia telah menyuntik pengalaman mengujakan.

“Jika bukan kita yang memikul tanggunjawab mengkomersialkan busana berunsurkan budaya Sarawak, maka siapa lagi? Justeru, sempena koleksi River ini saya lebih cenderung bermain dengan rona alam yang disuntik nafas baharu bagi menyerlahkan penampilan wanita daripada pelbagai peringkat umur.

“Jika diperhatikan, rata-rata klien saya terdiri daripada kelompok remaja, wanita berkerjaya hinggalah wanita berusia. Bayangkan, baju yang sama, mereka mampu menggayakan dengan stail, ikatan atau konsep suai dan padan mengikut usia masing-masing,” bicara figura hebat itu.

KOLEKSI fabrik Borneo memiliki tarikannya tersendiri.
KOLEKSI fabrik Borneo memiliki tarikannya tersendiri.

Mengulas mengenai material, Tom yang anggun dalam persalinan busana batik dan berselendang songket nuansa ungu gelap itu memberitahu, sifon dan sutera menjadi pilihan utama. Ia disebabkan lakaran motif batik dan warna menggunakan teknik celup memberikan efek menawan khususnya di atas hamparan fabrik jenis sutera.

Batik linut berasaskan kanji

Dalam pada itu, Malam Gala Tekstil Kraf Borneo turut mengetengahkan koleksi fesyen kraf tempatan seperti Tanoti Sdn Bhd dan Pua Indah Enterprise serta kumpulan pereka daripada Kraftangan Malaysia.

Setiap jenama menampilkan himpunan fesyen konsep moden dan kontemporari yang berasaskan tekstil kraf lokal termasuk menonjolkan keindahan corak mewakili suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Misalnya, songket Sabah dan batik Lahad Datu yang diketengahkan dibawa khas dari Negeri di Bawah Bayu manakala Sarawak pula diwakili variasi busana berasaskan songket Sarawak, tenunan Pua, sulaman keringkam dan batik baharu iaitu batik linut.

Apakah batik linut? Secara ringkasnya, batik tersebut dihasilkan menggunakan linut (sagu mentah) iaitu sejenis makanan tradisional dalam kalangan etnik Melanau di Mukah, Sarawak. Sementara itu, di Brunei dan Sabah, linut dikenali sebagai ambuyat.

Menurut salah seorang pereka Kraftangan Malaysia, Dayang Mordiana Abang Ahmat, pihaknya mengambil inisiatif memartabat dan mempromosikan keistimewaan batik linut yang berbeza dengan batik Kelantan dan Terengganu.

DAYANG MORDIANA (kiri) dan Noor Khairina Katan antara pereka Kraftangan yang bertanggungjawab menghasilkan busana menggunakan batik linut.
DAYANG MORDIANA (kiri) dan Noor Khairina Katan antara pereka Kraftangan yang bertanggungjawab menghasilkan busana menggunakan batik linut.

“Hasil kajian yang dijalankan secara berperingkat, kami mendapati linut mampu bertindak sebagai penebat terbaik bagi menggantikan lilin dalam proses pembuatan batik.

“Selain itu, ia juga berupaya menghalang warna dan air daripada menembusi bahagian lain. Mengapa Mukah? Ini disebabkan bahan mentah semula jadi (sagu) itu mudah didapati di daerah berkenaan yang didiami kaum ketiga terbesar di Sarawak,” katanya mengenai inovasi baharu Kraftangan Malaysia yang ditonjolkan di pentas peragaan komersial.

Menariknya, biarpun diperbuat daripada bahan asli, busana batik linut variasi rona itu pantas menarik perhatian kerana didatangkan dalam rekaan fesyen stailo. Buktinya, selain gaun hijau muda yang ideal digayakan pada majlis minum petang, golongan wanita juga berpeluang tampak ranggi dan kasual dengan jaket batik linut nuansa gelap.

“Pemilihan motif dan corak pula diiinspirasi daripada terendak Melanau (topi atau penutup kepala yang berbentuk kondan).

“Inisiatif tersebut bertujuan mengangkat keunikan warisan suku kaum terbabit, sekali gus memikat hati generasi muda yang sentiasa mendambakan koleksi fesyen kontemporari,” ulas Dayang Mordiana yang merupakan anak jati kelahiran Sarawak ketika ditemui Femina.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!