Rosol Wahid dilantik Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu

Raja Kamarul Bahrin (tengah) bersama penyelaras Parlimen dan DUN yang dilantik PH di Terengganu.
Raja Kamarul Bahrin (tengah) bersama penyelaras Parlimen dan DUN yang dilantik PH di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dilantik sebagai Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Parlimen Hulu Terengganu.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, nama bekas ahli UMNO itu dicadangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai wakil PH di kawasan berkenaan.

Menurutnya, PH Terengganu bersetuju untuk melantik Penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mewakili parti itu di setiap Parlimen dan DUN negeri itu, manakala kuota jawatan itu ditetapkan mengikut parti komponen bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Di tujuh parlimen lain jawatan itu dilantik dari kalangan semua ketua kawasan, ketua cabang atau ketua bahagian bagi parti yang bertanding dalam PRU14 di kawasan itu.

“Penyelaras Parlimen akan mengetuai mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Parlimen yang turut dianggotai Ketua Kawasan Amanah, Ketua Cabang PKR, Ketua Bahagian Bersatu dan Ketua DAP (jika ada) di parlimen tersebut berserta empat lagi wakil setiap parti masing-masing. Begitu juga di peringkat DUN.

“Dua jawatan ini adalah wakil saya selaku anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) bagi setiap Parlimen dan DUN di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, semua penyelaras Parlimen dan DUN turut diberi mandat menyelaraskan urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di kawasan masing-masing bagi melancarkan urusan MPKKP yang akan bermula 1 Januari nanti.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Mohd Hasbie Muda sebagai Setiausaha Penyelaras MPKKP Terengganu.

Artikel Berkaitan:

“Beliau akan membentuk sekretariat bersama-sama dengan setiausaha semua parti komponen bagi melancarkan urusan MPKKP di Terengganu,” katanya.