69 peratus daftar i-Suri di Terengganu

Orang ramai mengunjungi Pejabat KWSP Terengganu untuk melakukan pelbagai urusan seperti semakan, kemas kini akaun dan mendapatkan khidmat nasihat berhubung simpanan mereka.
Orang ramai mengunjungi Pejabat KWSP Terengganu untuk melakukan pelbagai urusan seperti semakan, kemas kini akaun dan mendapatkan khidmat nasihat berhubung simpanan mereka.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 69 peratus daripada 28,830 suri rumah yang layak telah mendaftar di bawah Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) di seluruh Terengganu.

Ketua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Terengganu, Rahmat Ali berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 peratus suri rumah telah mencarum bermula Januari hingga 30 September 2019.

“Usaha untuk mendekati kumpulan sasar bagi memberi penerangan mengenai skim ini telah dijalankan sejak ia mula-mula diperkenalkan dengan mendapat kerjasama daripada pemimpin setempat.

“Kini Terengganu menjadi negeri tertinggi dari segi jumlah pendaftaran suri rumah yang menyertai skim tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di pejabat KWSP Terengganu di sini baru-baru ini.

I-Suri ialah singkatan kepada Insentif Suri dan merupakan caruman sukarela dengan insentif khas kerajaan untuk suri rumah, balu atau ibu tunggal yang berdaftar dalam sistem pangkalan data kemiskinan nasional (e-Kasih).

Dalam perkembangan sama, Rahmat berkata, KWSP juga menumpukan terhadap penyertaan dalam skim simpanan Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) terutama bagi mereka yang menjalankan pekerjaan sendiri.

Menurutnya, ia adalah skim simpanan di bawah KWSP yang menawarkan peluang kepada golongan yang bekerja sendiri dalam sektor yang tidak formal untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan dan layak menerima insentif kerajaan ke atas simpanannya.

“Ahli i-Saraan dapat menikmati manfaat lain seperti pengecualian cukai, manfaat kematian dan akses kepada perkhidmatan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) secara percuma.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, mereka juga layak menerima sumbangan kerajaan sebanyak 15 peratus, dengan jumlah maksimum sebanyak RM250 setahun ke atas caruman mereka,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran KWSP ketika ini adalah untuk meyakinkan golongan berkenaan supaya menyertai skim yang disediakan itu.

Sementara itu, Rahmat berkata, pendedahan terhadap aspek kewangan perlu diberi penekanan sejak kecil bagi melahirkan lebih ramai golongan yang celik kewangan.

“Tahap celik kewangan di Malaysia masih pada paras rendah iaitu 36 hingga 37 peratus sahaja.

“Sebab itulah kita mengadakan pelbagai inisiatif, antaranya Seminar Celik Kewangan 2.0 bagi memberi pendedahan kepada kumpulan sasar mengenai insentif yang disediakan kerajaan,” katanya.