Ibu ADUN Manir meninggal dunia

Allahyarhamah To’ Puan Fatimah @ Zainab Ibrahim
A
A

KUALA TERENGGANU - Ibu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun meninggal dunia hari ini di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana barah rahim.

Allahyarham To’ Puan Fatimah @ Zainab Ibrahim, 67, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi tadi di sisi lima anaknya.

Anak keempat Allahyarham, Hamdi Harun ketika dihubungi Sinar Harian berkata, ibunya disahkan menghidap kanser rahim sejak dua tahun lalu namun kesihatan arwah tidak begitu membimbangkan.

“Cuma jam 2 petang semalam arwah tiba-tiba tidak sedar lalu dibawa ke HSNZ dan disahkan meninggal dunia jam 8 pagi tadi,” katanya.

Jenazah Fatimah disemadikan di sebelah pusara suaminya yang juga merupakan bekas ADUN Manir, Datuk Harun Taib di Tanah Perkuburan Kampung Padang Ujid, Manir pada jam 3 petang.

Sementara itu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Facebook rasmi beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Takziah diucapkan buat ADUN Manir, YB Hilmi Datuk Harun dan keluarga atas kehilangan bonda tercinta, Allahyarhamah To' Puan Fatimah @ Zainab Ibrahim di pagi Jumaat yang mulia ini.

“Allahyarhamah juga merupakan isteri kepada Allahyarham Datuk Harun Taib dan pernah menjawat jawatan penting dalam Pas termasuk Ketua Muslimat Pas Pusat 2001-2003 dan Ketua Muslimat Pas Negeri Terengganu sesi 1997-2001.

“Semoga amal baktinya diterima ALLAH SWT,” katanya.