Dua kampung tenggelam

Kampung Seri Sentosa sinonim dengan musibah banjir setiap kali hujan lebat berpanjangan.
Kampung Seri Sentosa sinonim dengan musibah banjir setiap kali hujan lebat berpanjangan.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Jika hujan lebat berpanjangan lebih dua jam, pastinya Kampung Seri Sentosa dan Seri Aman, di sini akan ditenggelami.

Paras air melebihi bahaya itu turut mengundang risiko kepada penduduk lebih-lebih lagi penghuni rumah yang berhampiran sungai berikutan dikhuatiri dibawa arus deras.

Meskipun menyedari risiko yang dihadapi namun pasangan warga emas, Misnah Jani, 66, dan suaminya reda dengan ketentuan ilahi dan masih menetap di tanah itu.

“Inilah saja tanah yang makcik ada...dulu kami perjuangkan nak tanah ini masa zaman Tan Sri Khalid Ibrahim jadi Menteri Besar Selangor dulu walaupun tahu selalu kena banjir.

“Memang rumah makcik ni paling dekat dengan sungai...takut juga kalau air naik mendadak kalau hujan lebat tak henti-henti. Kalau air naik, pasti bomba cari kami dulu untuk diselamatkan.

“Bayangkan air tinggi dan malam gelap. Makcik tak beranilah nak harung air untuk ke jalan besar...bila ada sampan jiran, makcik akan tumpang dulu untuk ke tempat tinggi,” katanya.

Misnah berkata, dia dan suami yang masing-masing mengidap sakit darah tinggi itu pasti tidak senang duduk apabila cuaca mendung dan hujan turun lebat kerana kawasannya pasti akan dinaiki air dengan cepat.

Barang berharga letak tempat tinggi

“Memang makcik tak lena tidurlah kalau asyik hujan saja sebab air sungai ni cepat saja naik. Kadang-kadang tu bila tengok cuaca mendung saja, makcik siap-siap kemaskan barang letak tempat tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Tak boleh jangka air ni naik dengan lumpur dengan sekelip mata...macam hari tu banjir, makcik tak sedar air dah cecah buku lali dalam rumah,” katanya yang juga menyimpan harapan supaya isu banjir di kawasan itu dapat diselesaikan.

Seorang lagi mangsa banjir, Sanah Jahiri, 71, juga menyifatkan musibah banjir sudah sinonim dengan penduduk kampung itu berikutan kawasan rumah masih rendah.

“Rumah dah buat tinggi pun air masih naik. Makcik pun dah tak berapa ingat kena pindah tapi tahun ini banyak kali sebab bila air sungai melimpah, memang kena rumah.

Kampung Seri Sentosa sinonim dengan musibah banjir setiap kali hujan lebat berpanjangan.
Kampung Seri Sentosa sinonim dengan musibah banjir setiap kali hujan lebat berpanjangan.

“Kalau air sungai melimpah tu sebab hujan lebat memang kena ‘stanby’ kemas barang-barang...makcik tak larat nak kemas semua kalau tak ada anak cucu yang tolong,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga masih tinggal di kampung itu meskipun sering kali dilanda banjir dan dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Masjid At Taufiqiah atau Dewan MDKS Desa Coalfields.

“Rumah sendiri walaupun tak cantik mana pun selesa dan nilah satu-satunya tanah yang kami ada meskipun memang selalu naik air di kawasan ni tapi nak buat macam mana.

“Kena redalah sebab ni saja tanah yang kami ada...lagipun dulu kami susah payah buat rayuan permohonan untuk dapatkan hak milik,” katanya kepada Sinar Harian.

Mereka antara penduduk di Kampung Seri Sentosa, Ijok yang sering dilanda musibah banjir selain di Kampung Bukit Hijau, Kampung Asahan dan Blok B Sawah Sempadan.

Pendekatan proaktif

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor bertindak lebih proaktif berdepan sebarang musibah banjir sepanjang fenomena Monsun Timur Laut yang dijangkakan sehingga Mac nanti.

Pengerusinya, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menjelaskan, pihaknya juga mengarahkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memastikan saliran dan parit kawasan berisiko tiada sekatan.

“Saya difahamkan, kerja menyelenggarakan parit dan saliran di kawasan yang dikenal pasti masih berjalan bagi memastikan aliran air sempurna tanpa berlaku takungan.

“Unit Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor juga memberi amaran kepada penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko dilanda banjir supaya sentiasa berwaspada.

“Jika kawasan penempatan mereka dinaiki air, agensi seperti bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan dikerahkan untuk membantu membawa mangsa ke pusat pemindahan banjir,” katanya.

Masjid At Taufiqiah yang menjadi pusat pemindahan banjir sebelum ini turut dinaiki air.
Masjid At Taufiqiah yang menjadi pusat pemindahan banjir sebelum ini turut dinaiki air.

Tegasnya, kerajaan persekutuan juga merencana penyelesaian jangka panjang termasuk membina projek tebatan banjir di sepanjang lembangan Sungai Buloh.

“Dua kampung iaitu Kampung Seri Sentosa dan Seri Aman terletak di dalam lembangan Sungai Selangor dan memang tak dinafikan, kawasan rendah itu sering dinaiki air sehingga paras bahaya.

“Jika projek tebatan banjir itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera, insya-ALLAH masalah banjir yang sering melanda dua kampung itu mungkin dapat diselesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai musibah banjir yang masih berlarutan di Kampung Asahan katanya, pihaknya menjangkakan isu banjir itu dapat diselesaikan sebaik sahaja kerja menaiktarafkan pam selesai.

“Sekarang ini, projek menaiktarafkan pam masih berjalan dan dijangka siap Mac.

“Ini kerana jika limpahan air sungai berlaku, musibah ini akan menjejaskan penduduk di kawasan rendah di Kampung Asahan, Tanjong Siam dan Kampung Kuantan," katanya.