Rabies ragut nyawa ke-21 di Sarawak

A
A

SHAH ALAM - Wabak rabies atau penyakit anjing gila meragut nyawa mangsa ke-21 di Sarawak selepas seorang kanak-kanak lelaki lima tahun disahkan meninggal dunia akibat wabak itu pada 2 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa berasal dari Kampung Mambong, Jalan Penrissen, Kuching meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

“Sampel untuk ujian rabies yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan mangsa positif rabies,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kanak-kanak itu tidak aktif sejak 13 Oktober lalu dan mengadu sakit tekak.

Katanya, pada 15 Oktober lalu mangsa dikatakan mengalami demam dan berkelakuan luar biasa dan dibawa ke sebuah klinik swasta untuk pemeriksaan.

“Namun keadaannya bertambah teruk dan dibawa pula ke Klinik Kesihatan pada 18 Oktober dan dirawat sebagai pesakit luar dengan diagnosa Upper Respiratory Tract Infection (URTI).

“Pada 21 Oktober 2019 mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak apabila keadaannya semakin lemah,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, keluarga mangsa mempunyai dua anjing peliharaan di rumah.

“Difahamkan kedua-dua anjing itu tidak pernah mendapat vaksinasi anti-rabies dan bebas bergaul dengan anjing liar namun hingga kini kedua-dua anjing itu masih hidup dan sihat.

“Mangsa juga tidak pernah mengadu digigit anjing atau haiwan lain dan kes rabies terbaharu itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes terbaharu itu menjadikan 22 jangkitan rabies kalangan manusia di Sarawak sejak wabak itu diisytiharkan pada 1 Julai 2017 dengan enam daripadanya dikesan berlaku tahun ini.

Daripada jumlah itu 21 mangsa meninggal dunia manakala seorang mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan mengalami komplikasi neurologi teruk dengan hanya bergantung kepada alat bantuan hayat sejak dua tahun lalu.

Malah pihaknya juga meminta kalangan ibu bapa untuk menasihatkan anak-anak supaya berwaspada dan segera memaklumkan sekiranya digigit atau dicakar atau luka dijilat oleh anjing sama ada anjing liar atau anjing milik sendiri.