'Saya tidak boleh duduk diam'

HAFIZH SYAHRIN
HAFIZH SYAHRIN
A
A
A

KERJA gila! Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan pelumba MotoGp negara, Hafizh Syahrin Abdullah apabila dia akan beraksi di Sepang 1,000 km (S1K) Endurance Race, beberapa hari selepas perlumbaan terakhir kejuaraan motosikal dunia di Valencia.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu akan berlumba di Grand Prix Valencia di Sepanyol pada 15 hingga 17 November dan seterusnya pulang ke tanah air untuk perlumbaan S1K pada 22 hingga 24 November.

Ekoran jadual yang ketat, pelumba berasal dari Ampang yang akan bergandingan dengan Alister Yoong dan Bradley Benedict Anthony dalam perlumbaan kereta S1K kategori SP2, hanya berpeluang untuk berlatih sekali sahaja sebelum aksi sebenar.

"Saya seorang ahli sukan (sportsman) yang tidak boleh duduk diam. Saya akan ke Valencia minggu depan dan akan terus balik ke Malaysia untuk S1K, dan kembali ke Valencia untuk uji jentera baru dengan pasukan Angel Nieto.

"Saya hanya ada satu peluang untuk berlatih dengan pasukan S1K tapi tiada yang mustahil. Saya yakin boleh lakukan yang terbaik di perlumbaan S1K nanti walaupun kurang latihan. Ini adalah cabaran yang luar biasa tapi satu pengalaman yang sangat bermakna," katanya kepada pemberita pada sidang media Hi-Rev Dream Chaser bersama Hafizh Syahrin hari ini.

Hafizh yang akan berlumba dengan jentera Toyota Vios bernombor 910 pada S1K diberikan syarat oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk menyertai kejohanan antarabangsa untuk membolehkan beliau menyertai FIA World Touring Car Cup (WTCR) pada 15 Disember depan.

Hafizh Syahrin bukan hanya akan menyertai perlumbaan kereta di WTCR, malah beliau akan menunggang motor di perlumbaan endurance Sepang 8 Hours untuk FIM Endurance World Championship (EWC) bersama-sama Franco Morbidelli dan Michael van der Mark.

Beliau akan mewakili pasukan Sepang Racing Team bagi perlumbaan dua dan empat roda yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya tekanan pasti ada kerana perlumbaan lapan jam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap, tidak perlu jentera yang laju. Cukup dengan jentera yang konsisten tanpa sebarang masalah teknikal dan kesilapan sendiri.

"Tidak susah untuk tackle jentera bagi perlumbaan lapan jam itu tapi yang agak merisaukan ialah WTCR kerana ada lapan juara dunia yang turut serta nanti. Saya tidak boleh janjikan apa-apa keputusan tapi saya boleh beri keyakinan yang saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata beliau memilih Hafizh Syahrin untuk perlumbaan WTCR adalah untuk mencipta kelainan sekali gus menarik minat peminat sukan permotoran menyaksikan perlumbaan berkenaan.

"Kenapa kita pilih Hafizh, sebab ini adalah acara baharu yang menggantikan Formula Satu (F1) di Litar Sepang. Ini adalah untuk menarik lebih ramai penonton, kita tahu Hafizh ada ramai peminat yang ikut setiap perlumbaan dia. Beliau adalah tarikan utama untuk WTCR," katanya.