Maulidur Rasul tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW

JAGALAH 'pusaka' peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan hadis dengan sebaiknya serta amalkannya dalam kehidupan seharian.
JAGALAH 'pusaka' peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan hadis dengan sebaiknya serta amalkannya dalam kehidupan seharian.
A
A
A

JIKA ditelusuri sirah kelahiran Nabi Muhammad SAW, baginda dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun Gajah.

Mengikut kalendar Islam, esok merupakan Maulidur Rasul atau hari keputeraan baginda SAW iaitu penghulu sekalian nabi dan rasul.

Menjadi kelaziman kita menyambut Maulidur Rasul pada setiap tahun sebagai menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Ya, kita mungkin tidak sempat hidup atau bertemu dengan baginda SAW, namun perjuangan yang direntas Rasulullah dalam menyebarkan dakwah Islamiah tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, menjadi tugas kita umat akhir zaman dalam menyebarluaskan adab dan akhlak yang diajarkan baginda.

Justeru sebagai tanda manifestasi seorang umat terhadap pemimpin paling agung sepanjang zaman, ia dizahirkan menerusi pengisian program kerohanian yang mendekatkan kita kepada Rasulullah SAW sempena sambutan Maulidur Rasul.

Antaranya menerusi alunan selawat ke atas baginda sambil melakukan perarakan, ceramah agama, majlis khatam al-Quran dan lain-lain yang menjadi kelaziman kita.

Ada yang tertanya-tanya apakah hukum menyambut Maulidur Rasul? Bolehkah ia disambut secara besar-besaran seperti hari perayaan umat Islam?

Artikel Berkaitan:

Keistimewaan

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam mendapatkan pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

USTAZ WAN AKASHAH
USTAZ WAN AKASHAH

Ujar agamawan itu, Maulidur Rasul sebenarnya begitu istimewa kerana tidak pernah lagi kita menyambut kelahiran seseorang yang sudah tiada lagi di dunia.

"Sedangkan Nabi Muhammad SAW, kita sambut (hari keputeraan baginda), seolah-olah masih hidup. Ini bermakna, ajaran nabi itu berjalan hingga hari kiamat. Itulah keistimewaannya.

"Lazimnya, apabila kita menyambut Maulidur Rasul, ia sebenarnya menunjukkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Ya, apabila kita cintakan seseorang, pasti kita akan ingat hari kelahiran dia.

"Apabila kita sayang dan cintakan seseorang, biasanya kita akan suka dengan apa sahaja yang dia lakukan, cara dia makan dan minum, cara berpakaian dan gaya rambut dia. Begitulah juga apabila kita sayang dan cintakan baginda SAW yang mana apa yang nabi lakukan, pasti kita akan turutkan," katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Kenapa sambutan itu begitu signifikan kepada umat Islam? Kata Ustaz Wan Akashah: "Biasanya, kalau kita sayang kepada seseorang, kita akan jaga pusaka yang ditinggalkannya. Sama juga seperti apabila kita buat (sambut) Maulidur Rasul, kita hendak jaga pusaka baginda SAW iaitu al-Quran dan hadis."

Muliakan kekasih ALLAH

Ustaz Wan Akashah meneruskan perkongsian ilmunya. Beliau membangkitkan soal hukum mengingati Maulidur Rasul.

Meskipun hukumnya bukanlah wajib, tetapi beliau berkata, umat Islam digalakkan berbuat demikian kerana sambutan itu sebenarnya membangkitkan 'roh' atau semangat keislaman kembali memutik dalam sanubari hati orang Islam.

"Ya, dengan sambutan Maulidur Rasul yang biasanya diadakan ceramah, qiamullail, perarakan dan sebagainya, ia akan membibitkan semua perasaan tersebut.

"Bukan itu sahaja, kita juga akan mendapat pahala apabila mengadakannya kerana memuliakan kekasih ALLAH SWT. Bahkan, apabila kita lakukan perkara itu, ia seolah-olah berjihad pada jalan ALLAH. Jadi, dapatlah pahala dan termasuk dalam amal soleh," ujar beliau.

Justeru, jelas Ustaz Wan Akashah, tidak salah jika sambutan Maulidur Rasul itu diadakan sama meriah dengan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

TIDAK salah jika sambutan Maulidur Rasul diadakan sama meriahnya dengan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.
TIDAK salah jika sambutan Maulidur Rasul diadakan sama meriahnya dengan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

"Kalau boleh, biarlah sambutan Maulidur Rasul itu berpanjangan, bukan hanya pada hari kelahiran itu sahaja. Namun, jika mampu, boleh sahaja kita lakukan sambutan berkenaan secara mingguan atau bulanan. Paling tidak pun, sepanjang bulan Rabiulawal bagi kita menyemarakkan sambutan mengingati Rasulullah SAW.

"(Dengan melakukan demikian) Kita seolah-olah menimbulkan suasana kesedaran kepada umat Islam bahawa betapa pentingnya kita kembali kepada penghayatan Islam untuk menangani masalah-masalah sosial yang berlaku pada generasi sekarang.

"Selain itu, sambutan itu akan membantu anak-anak muda zaman sekarang supaya mengenali siapa Nabi Muhammad SAW, kelebihan dan kekuatan baginda," katanya.

ALLAH SWT berfirman: “Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri...” (Surah al-Ahzab, ayat 6)

Tuntutan Islam Sementara itu, pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa berkata, mencintai Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan dalam Islam.

USTAZ FAUZI
USTAZ FAUZI

"Ia disambut sempena kelahiran Rasulullah SAW dan diraikan dengan berselawat, pengisahan tentang kelebihan Rasulullah SAW dan ajarannya serta mengenali sunah baginda untuk diamalkan, selain menjamu orang makan.

"Pengisian itu digalakkan dalam Islam apatah lagi untuk menambahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan mendekatkan diri kepada baginda," katanya.

Baik Hari Raya mahupun Maulidur Rasul, ujar agamawan itu, kedua-dua sambutan itu mempunyai kelebihan dan amalan tersendiri.

"Tidak mungkin untuk kita melebihkan sambutan yang satu ini (Maulidur Rasul) terhadap yang satu lagi (Hari Raya). Namun, kedua-duanya sangat berkait rapat dengan hari-hari kebesaran Islam," katanya.

Apapun, sebagai umat akhir zaman yang tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW, jelas Ustaz Fauzi, ajaran Baginda perlu disebarluaskan lagi terutama yang berkaitan dengan adab dan akhlak.

Ini kerana, menurut beliau, ia merupakan asas mengapa Rasulullah SAW diutuskan di dunia iaitu untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Sabda Baginda SAW: "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." (Riwayat Baihaqi)

Dalam pada itu, Ustaz Fauzi turut menegur sikap segelintir umat Islam akhir zaman yang kini seolah-olah hilang adab dan akhlak daripada 'kamus hidup' mereka.

Jelas beliau, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku. Sebaliknya, menjadi tanggungjawab kita pada hari ini untuk menyebarluaskan lagi kefahaman umat akhir zaman tentang ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang sentiasa membawa rahmat ke seluruh alam.

Baginda SAW bersabda: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh ALLAH SWT kepada seluruh alam)." (Riwayat ad-Darimi dan al-Hakim)

"Ketahuilah bahawa ajaran baginda sesuai dengan fitrah manusia dan mudah untuk dipraktikkan. Persoalan halal atau haram yang dibawa oleh Rasulullah SAW tidak lain tidak bukan hanyalah untuk kebaikan manusia sejagat," kata Ustaz Fauzi.

Ujar beliau, apa yang penting, perpaduan umat Islam begitu signifikan pada saat musuh-musuh Islam bersatu untuk menghancurkan agama suci itu dan umatnya.

"Perkenalkan dan sebar luaskan lagi kefahaman tentang kepentingan beramal dengan sunah Rasulullah SAW walaupun hanya sekecil-kecil sunah. Sementelah lagi, pada akhir zaman ini, banyak agenda musuh-musuh Islam untuk menjauhkan umat Islam daripada ajaran Rasulullah SAW," ujar beliau.

Medium dakwah

Sambutan Maulidur Rasul menjadi medium dakwah dalam menyampaikan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan mengingati perjuangan baginda menyebarkan ajaran Islam.

Pendakwah Ustaz Hadi Talhah berkata, meskipun Nabi Muhammad SAW tidak meminta hari kelahirannya disambut dan diingati, namun ia antara cara untuk mengenali baginda dengan lebih rapat.

USTAZ HADI
USTAZ HADI

"Walaupun sahabat-sahabat baginda SAW tidak menyambutnya (Maulidur Rasul), tetapi kita kena ingat bahawa mereka begitu dekat dengan Rasulullah SAW dan sentiasa mengingati kekasih ALLAH itu.

"Pada hari ini, ketika Maulidur Rasul, kita boleh anjurkan ceramah perdana yang mana ramai orang akan datang berbanding kuliah pada hari biasa kerana majlis sambutan Maulidur Rasul diadakan secara besar-besaran, maka usaha dakwah untuk mengingati Rasulullah SAW dapat dijalankan," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Ditanya tentang pandangan segelintir pihak bahawa sambutan Maulidur Rasul menyimpang daripada ajaran agama, Ustaz Hadi bagaimanapun berkata, ia hanya pandangan daripada sebahagian ulama yang berselisih pendapat tentang perkara berkenaan.

Namun, kata beliau, ia perlu dilihat dari konteks dan maslahah yang lebih luas dengan melihat kebaikan hasil daripada penganjurannya. Antara ulama yang memberi sokongan kepada sambutan memperingati majlis Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin Al-Suyuti, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh 'Atiyah Saqr dan Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi mengajak kita mengingati kembali sebuah hadis sahih Rasulullah SAW berkaitan orang Yahudi yang berpuasa pada hari Asyura.

Bahawa Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, maka baginda mendapati, orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu 10 Muharam. Lalu nabi bertanya kepada orang Yahudi itu: “Kenapa berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Nabi Musa dibebaskan. Kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan.” Maka Baginda SAW berkata: “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Daripada hadis berkenaan, maknanya di sini ialah ingatan mereka (kaum Yahudi) tadi adalah bukan untuk tujuan melakukan maksiat. Sama juga seperti sambutan Maulidur Rasul, bukan tujuan untuk melakukan maksiat, tetapi kita menyambutnya untuk lebih mendekatkan diri kepada Rasulullah SAW.

"Jadi tiada sebab kenapa sambutan itu dilarang. Kita kena tengok juga suasana zaman kita pada hari ini yang berbeza dengan zaman Rasulullah. Zaman sahabat dahulu, mereka mengingati Rasulullah SAW, sunah dan ajaran baginda.

"Kita pula pada hari ini, orang tinggal banyak (ajaran dan sunah Baginda). Kalau kita tak buat program-program seperti (Maulidur Rasul) itu, memang (kita) tak ingat langsung dengan baginda. Cuma, pengisian yang dijalankan ketika Maulidur Rasul mestilah menepati syariat Islam," jelasnya.