PM ucap tahniah kepada atlet paralimpik Dikwan

No Image Caption
A
A
A

TUN Dr Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi kerana mencipta sejarah selaku atlet Malaysia pertama dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada atlet paralimpik negara Mohamad Ridzuan Puzi di atas pencapaian terbaik beliau. Ini suatu kejayaan besar yang pasti membanggakan negara. Malaysia Boleh! #kamiluarbiasa,” kata Perdana Menteri menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau, malam ini.

Terdahulu, catatan Twitter Kementerian Belia dan Sukan (@KBSMalaysia) menyatakan Mohamad Ridzuan, yang lebih dikenali sebagai Dikwan, bakal menerima anugerah itu yang akan disampaikan oleh Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), 5 Februari depan.

Mohamad Ridzuan mencipta sejarah apabila mencipta rekod dunia dalam acara 100m lelaki T36 dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober tahun lalu.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu melakukan catatan terbaik dalam acara 100m dengan masa 11.87s, sekali gus memadam rekod dunia 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2013 di Lyon.

Mohamad Ridzuan, 31, pemenang pingat emas acara 100m pada Sukan Paralimpik Rio 2016, juga memecah rekod Sukan Asia acara lompat jauh dengan catatan terbaiknya 5.59m, sekali gus memadam rekod lama (5.45m) yang dilakukan oleh atlet China, Yang Yi Fei, pada 2016. - Bernama

Artikel Berkaitan: