Imigresen selamatkan tiga gadis mangsa eksploitasi seks

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menyelamatkan tiga gadis warga Vietnam, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks oleh sindiket pelacuran di sebuah premis pelacuran, dalam satu operasi khas yang dijalankan di Kota Kemuning, Selangor Selasa lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pasukan operasi membuat serbuan di premis berkenaan berdasarkan maklumat awam dan risikan.

“Ketiga-tiga mangsa eksploitasi seks yang masing-masing berumur 18 tahun berkenaan diselamatkan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Ketiga-tiga mangsa ditempatkan di rumah perlindungan," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Khairul Dzaimee berkata, pasukan operasi turut menangkap seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun bersama teman wanitanya, seorang warga Vietnam serta seorang wanita warga Myanmar yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis yang berperanan menguruskan aktiviti pelacuran.

"Ketiga-tiga mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007," katanya.

Turut ditahan ialah tiga orang wanita pekerja seks yang lain terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - Bernama