Vape adalah haram, 'full stop': PU Hafiz

PU HAFIZ
A
A

SHAH ALAM - Vape adalah haram, 'full stop'! Demikian tegas Muhammad Hafiz Mohd Haneefa atau lebih dikenali PU Hafiz dalam program #Cakaplah anjuran Sinar Harian dengan tajuk 'Vape: Trend atau bahayakan nyawa', di sini malam ini.

Menurutnya, Islam adalah agama yang cukup sempurna, yang menjaga bukan sahaja tentang menjaga nyawa seseorang tetapi secara menyeluruh iaitu bagaimana suasana 'biah' yang berlaku.

"Kita dapat satu keputusan di mana negara kita sudah mengeluarkan satu keputusan muzakarah dalam (Majlis) Fatwa Kebangsaan pada 25 Disember 2015 bahawa (penggunaan) vape dikategorikan (sebagai) haram kerana beberapa perkara.

"Pertama, ia disebut dengan Qaedah Saad al-Zaraiad (iaitu menutup keburukan lebih besar dan lebih bahaya yang mungkin berlaku pada masa hadapan) yang mana disebut ada perkara-perkara keburukan yang akan datang," katanya pada siaran langsung di Dewan Karangkraf itu.

Program #Cakaplah: 'Vape: Trend atau bahayakan nyawa' itu turut dibarisi tiga lagi panel; Pengerusi Ikramteens, Mohd Fadhli Othman; Pakar Perubatan Keluarga, Dr Munirah Ibrahim dan penyanyi Ibrahim Amir Hasan, yang dimoderatorkan oleh personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya.

PU Hafiz berkata, ada yang mengatakan vape kurang bahaya dari segi peratus berbanding rokok kerana fakta merekodkan lebih 430 orang mati akibat rokok setiap tahun, namun belum ada lagi kajian memutuskan vape akan memberi impak bahaya seperti kanser atau kematian.

"Walau bagaimanapun kerana dalam vape itu ada bahan bahan terlarang, maka di sini, fatwa muzakarah (Majlis) Fatwa Kebangsaan, kita memutuskan bahawa haram yang pertamanya dari segi ada benda yang tidak baik, ada benda lebih buruk akan berlaku," katanya.

PU Hafiz berkata, fatwa itu bukan sahaja digunakan di Malaysia tetapi turut digunakan di Kuwait, Arab Saudi, Bahrain dan negara-negara Arab lain yang telah memutuskan ia berbahaya.

"Yang kedua, dengan mengambil kias dari rokok itu sendiri sebab rokok itu dikiaskan seperti bahayanya arak sehingga rokok itu haram, begitu juga vape.

"Hanya kita jadi tak berapa gemar, kita faham ada yang mengatakan vape ini sebagai ganti (rokok) tetapi ianya sudah menjadi budaya yang mana anak-anak muda sekali keluar ikut YouTube, yang viral (tular) itu, tiba tiba pakai tudung comel, molek, solehah tetapi keluar (asap) ikut hidung nampak macam 'dragon'.

"Jadi, kita pun tak berapa gemar, tidak berapa suka dengan cara ini dan ini yang kita takut anak-anak kita (terikut-ikut)," katanya.

Beliau berkata, bagi perokok yang beralih kepada vape kerana melalui proses meninggalkan tabiat merokok, ulama ada berbincang tentang makruh dengan panjang lebar, namun tetap menegaskan bahawa penggunaan vape adalah haram.